Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Korban di M'sia meningkat dengan 487 kematian baru

80% penduduk dewasa sudah divaksin hingga Selasa lalu, rentas negeri diizin jika peratusan capai 90%: PM
Sep 24, 2021 | 5:30 AM
DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB - Foto AFP
DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB - Foto AFP -

KUALA LUMPUR: Korban Covid-19 di Malaysia terus meningkat, mencapai 24,565 orang setelah Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 487 lagi kematian koronavirus itu kelmarin.

Ini sedang Malaysia bakal membenarkan lebih banyak destinasi pelancongan dibuka semula kepada pelancong tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin mengumumkan negara itu akan menarik balik larangan perjalanan rentas negeri apabila sekurang-kurangnya 90 peratus penduduk dewasa telah diberi vaksin Covid-19 sepenuhnya.

Ia juga akan melonggarkan sekatan di seluruh negara bagi kegiatan riadah tertentu mulai 1 Oktober bagi mereka yang telah diberi vaksin sepenuhnya.

"Kami akan membenarkan pusat pelancongan, pulau (dibuka semula), dan perjalanan antara negeri dengan syarat kita mencapai 90 peratus vaksinasi orang dewasa menurut data Kementerian Kesihatan," ujar beliau.

Keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa khas menangani pandemik itu, yang dipengerusikan Datuk Ismail Sabri.

Sehingga Selasa lalu, Malaysia telah memberi vaksinasi sepenuhnya kepada 80 peratus penduduk dewasa, atau 57.5 peratus daripada jumlah penduduk negara itu.

Larangan perjalanan antara negeri dimulakan pada awal Januari dan telah dilaksanakan selama hampir sepanjang tahun ini sedang negara itu menghadapi krisis koronavirus yang semakin buruk.

Namun, kadar vaksinasi tinggi menyebabkan jumlah kes harian menunjukkan tanda-tanda penurunan beberapa minggu ini.

Kelmarin, Malaysia melaporkan 14,985 kes baru Covid-19 dan 19,702 pemulihan, dengan angka pemulihan melebihi kes baru enam hari berturut-turut.

Kes Covid-19 aktif di Malaysia terus berkurangan kelmarin, dengan jumlah terbaru 201,274 kurang sebanyak 5,199 daripada pada hari sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 168,258, atau 83.6 peratus, pesakit mempunyai jangkitan ringan dan menjalani kuarantin di rumah. Seramai 21,581 (10.7 peratus) diasingkan di pusat kuarantin berisiko rendah (PKRC), sementara 10,321 (5.1 peratus) dimasukkan ke hospital.

Terdapat 1,114 (0.5 peratus) pesakit di unit jagaan rapi (ICU). Tahap penggunaan ICU di peringkat nasional ialah 74.8 peratus. - The Star, The Straits Times.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg