Subuh
5:41
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:30

Korban dijangka bertambah, jangkitan Covid-19 di pusat pemindahan

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

BANJIR DI MALAYSIA

Korban dijangka bertambah, jangkitan Covid-19 di pusat pemindahan

Kerajaan umum bantuan $32j bantu rakyat baiki rumah, wang tunai bagi keluarga terjejas
Dec 21, 2021 | 05:30 AM

PENULARAN meruncing pandemik Covid-19, korban jiwa semakin meningkat dan puluhan ribu mangsa banjir memerlukan bantuan dan perhatian.

Inilah hakikat getir yang sedang dihadapi kerajaan Malaysia tiga hari setelah banjir besar melanda enam negeri Semenanjung hujung minggu lalu.

Sejauh ini, 181 mangsa banjir yang dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) didapati positif Covid-19, dengan 206 dikenal pasti sebagai kontak rapat.

"Kementerian Kesihatan menjangka peningkatan penularan akan berlaku akibat banjir besar itu kerana usaha menyelamat terpaksa dilakukan dalam keadaan amat bahaya," kata Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaludin, dalam satu sidang media di Parlimen.

"Keutamaan kita adalah menyelamatkan mangsa banjir, oleh kerana itu sudah tentu beberapa protokol kesihatan awam, seperti memakai pelitup muka, tidak dapat dipatuhi," ujarnya.

Kes positif itu terdiri daripada enam di Kelantan, 52 di Pahang, 117 di Selangor, empat di Kuala Lumpur dan satu setiap satu di Negeri Sembilan dan Melaka.

Lebih 40,000 mangsa banjir dipindahkan ke lebih 200 PPS sejak Jumaat lalu dan jumlah ini dijangka meningkat dalam beberapa hari ini. Kemudahan itu diurus oleh Agensi Pengurusan dan Bencana Negara (Nadma), melibatkan lebih 60,000 petugas.

Lebih 5,000 lagi PPS, yang boleh menampung hingga 1.6 juta mangsa, sedang dipersiapkan.

Yang membimbangkan pasukan penyelamat ialah angka korban dijangka meningkat apabila air mula surut. Apabila hujan mula reda kelmarin, beberapa mayat dijumpai terapung.

Di Selangor, tujuh orang sejauh ini disahkan maut akibat mati lemas dan tiga dilaporkan hilang. Tiga mangsa ditemui di Taman Sri Muda Shah Alam, antara kawasan terjejas paling teruk.

Sejak Sabtu lalu, media sosial memberi tumpuan pada nasib ramai penduduk kawasan itu yang terpaksa berlindung di bumbung rumah. Ada keluarga dilaporkan terperangkap hingga 48 jam tanpa bekalan makanan.

Keadaan darurat di Taman Sri Muda memerlukan banyak bot penyelamat pasukan bomba, tentera dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dikerahkan ke kawasan itu sejak Sabtu malam.

Sejauh ini, Selangor telah membuka 162 PPS sejak Sabtu bagi menempatkan lebih 32 ribu mangsa banjir.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kerajaan akan membelanjakan RM100 juta ($32 juta) bagi membantu rakyat membaiki rumah mereka yang terjejas.

Kerajaan juga akan memberi wang bantuan RM1,000 kepada setiap keluarga terjejas.

Beliau berkata demikian setelah mempengerusikan satu mesyuarat khas membincangkan tindakan susulan banjir itu.

Bencana yang melanda hujung minggu lalu berpunca daripada hujan tanpa henti dari Jumaat hingga Ahad. Keadaan diburukkan oleh tekanan rendah luar biasa dan air pasang di Selat Melaka.

Menurut Kementerian Alam Sekitar dan Air, jumlah hujan yang mencurah di Lembah Klang itu sama banyaknya dengan jumlah purata sebulan yang biasa dicatat.


Jabatan meteorologi nafi tidak beri amaran

KUALA LUMPUR: Ribut tropika dan luruan monsun adalah dua faktor utama yang menyebabkan hujan berterusan, sekali gus banjir teruk, di beberapa negeri, termasuk Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Encik Muhammad Helmi Abdullah, berkata ribut tropika jarang berlaku di negara ini tetapi apabila ia melanda bersama luruan monsun, ia menyebabkan keadaan cuaca bertambah buruk.

"Ribut tropika ini merupakan peringkat awal bagi pembentukan satu sistem yang dikenali sebagai Siklon Tropika. Ia perkara yang jarang berlaku dan agak sukar diramal kerana sistemnya agak kecil dan dipengaruhi faktor lain, seperti luruan monsun.

"Luruan monsun pula ialah angin dari benua China dan tiba di negara kita menyebabkan episod hujan lebat di Pantai Timur Semenanjung pada musim tengkujuh dan kali ini ia juga menyebabkan hujan lebat di negeri Pantai Barat Semenanjung," ujarnya kepada Sinar Harian.

Beliau tidak menolak kemungkinan taufan Rai yang membadai Filipina Khamis lalu turut menjadi punca hujan berterusan di Lembah Klang.

Encik Helmi menafikan pihaknya tidak memberi amaran awal, dengan mengatakan MetMalaysia menyediakan maklumat dan amaran sejak 11 Disember tentang hujan berterusan yang boleh menyebabkan bah besar dan tanah runtuh di seluruh negara.

Penafian itu berikutan dakwaan melalui media sosial Sabtu lalu bahawa jabatan itu gagal memantau dan mengemas kini maklumat, termasuk mengenai taufan Rai. Beliau menegaskan jabatan itu mengeluarkan nasihat mengenai Rai pada 5.45 pagi Jumaat lalu sebaik sahaja ia memasuki kawasan pemantauan negara.

"Nasihat ini dikemas kini setiap tiga jam ketika taufan berada di kawasan pemantauan negara dan dikongsi melalui laman web rasmi kami. Maklumat terkini mengenai sistem tekanan rendah dan taufan Rai turut diumum di TV1 dua kali sehari pada 8 pagi menerusi program Selamat Pagi Malaysia dan pada 5 petang semasa Berita Wilayah," katanya. - Agensi Berita.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3