Topik diikuti
Pergi ke BHkuKorban feri karam di Laut Jawa meningkat kepada 26, 109 masih hilang
Korban feri karam di Laut Jawa meningkat kepada 26, 109 masih hilang
JAKARTA: Angka korban akibat sebuah feri penumpang yang terbalik dan karam di Laut Jawa meningkat kepada 26 orang pada 23 September, sedang pasukan penyelamat memperluas operasi menyelam di dalam kapal untuk mencari mangsa yang masih hilang.
Seramai 109 orang masih belum ditemukan, manakala 108 lagi berjaya diselamatkan, menurut Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Encik Mohammad Syafii.
Feri Virgo Transport 8 membawa 243 orang, termasuk 30 anak kapal, serta sejumlah kenderaan yang belum dapat dipastikan apabila ia terbalik dalam cuaca buruk pada awal 13 September.
Kapal itu sedang dalam perjalanan dari Surabaya, Jawa Timur, menuju Banjarmasin, Kalimantan Selatan, ketika kemalangan berlaku.
Operasi mencari mangsa kini semakin tertumpu pada bahagian dalam kapal selepas penyelam menemui beberapa mangsa yang dipercayai terperangkap di dalam kabin.
Menurut Encik Syafii, anggota pengawal pantai dan TNI Angkatan Laut menemui lapan mayat dari dalam kapal sejak tiga hari lalu.
Dua lagi mayat ditemukan terdampar di pantai Kalimantan Tengah, kira-kira 253 kilometer dari lokasi feri itu karam.
Secara keseluruhan, pasukan penyelamat menemukan lima mayat pada Isnin, empat pada Selasa dan tujuh lagi pada Rabu, katanya.
Ketua agensi mencari dan menyelamat Banjarmasin, Encik I Putu Sudayana, berkata operasi pada 23 September memberi tumpuan kepada usaha memasuki kabin kapal kerana dipercayai masih terdapat ramai penumpang terperangkap di dalamnya.
“Pencarian bawah air kami tertumpu pada badan kapal. Itulah kawasan yang menjadi tumpuan kerana kami menemukan ramai penumpang terperangkap di dalam kabin,” katanya.
Penyelam berjaya memecahkan tingkap kabin pada Selasa, tetapi belum dapat memasuki ruang berkenaan kerana jarak penglihatan yang terhad akibat air keruh serta arus kuat.
Keadaan itu turut menyukarkan pasukan penyelamat membawa keluar mayat yang sudah dikenal pasti berada di dalam kapal.
Selepas pencarian di bahagian kabin selesai, pasukan penyelamat merancang memeriksa kenderaan yang dibawa feri itu sekiranya keadaan mengizinkan.
Operasi tersebut dijangka lebih rumit kerana banyak kenderaan dipercayai bertindih antara satu sama lain selepas kapal terbalik.
“Keadaan ini menimbulkan risiko kepada pasukan penyelam,” kata Encik Putu.
“Jika keadaan mengizinkan dan selamat, kami akan menjalankan pencarian.”
Operasi mencari dan menyelamat telah dilanjutkan sehingga 27 September depan, sedang pihak berkuasa terus berusaha mengesan mangsa yang masih hilang.
Usaha turut dijalankan untuk menegakkan semula Virgo Transport 8 bagi memudahkan pencarian di bahagian kapal yang ketika ini sukar dimasuki.
Setakat 23 September, feri itu masih berada dalam keadaan terbalik.
Penemuan lebih banyak mayat di dalam kabin sejak beberapa hari lalu meningkatkan kebimbangan bahawa angka korban mungkin terus bertambah apabila penyelam memperoleh akses lebih luas ke bahagian dalam kapal.
Pada masa sama, keadaan air yang keruh, arus kuat dan kedudukan kenderaan di dalam feri terus menjadi cabaran utama kepada operasi mencari dan menyelamat. – Agensi berita