
SANGDONG: Sejenis logam berwarna biru yang dikenali sebagai tungsten, yang bersinar dan tertempel pada dinding sebuah lombong yang lama terbengkalai, mungkin menjadi pemangkin usaha Korea Selatan memecahkan penguasaan China terhadap mineral, atau galian, jarang ditemui.
Logam keras yang digunakan untuk membuat aloi, filamen lampu elektrik dan lain-lain itu kini mempunyai nilai baru dalam era digital, dalam teknologi daripada telefon serta cip kepada kenderaan elektrik (EV) serta peluru berpandu.
Ini menyebabkan lombong di Sangdong itu, yang terletak 180 kilometer ke tenggara Seoul, sedang dihidupkan semula setelah terbengkalai sekian lama.
"Kenapa membukanya semula selepas 30 tahun? Kerana ia adalah sumber alam yang amat berharga," kata Encik Lee Dong-seob, naib presiden pemilik lombong itu, Almonty Korea Tungsten Corp.
"Sumber-sumber asli kini menjadi senjata dan aset strategik," ujar beliau.
Sangdong salah satu daripada sekurang-sekurangnya 30 lombong mineral atau loji pemprosesan di seluruh dunia yang telah dilancarkan atau dibuka semula di luar China sejak empat tahun lalu, menurut satu revui oleh agensi berita Reuters terhadap projek yang diumumkan pemerintah dan syarikat.
Ini termasuk projek pembangunan lithium di Australia, unsur nadir bumi, atau rare earths, di Amerika Syarikat dan tungsten di Britain.
Saiz perancangannya menggambarkan tekanan yang dirasakan oleh negara-negara di serata dunia untuk mendapatkan bekalan mineral kritikal tu, yang disifatkan sebagai sangat diperlukan dalam usaha peralihan ke arah kuasa tenaga hijau.
Ini termasuk lithium dalam bateri EV kepada magnesium dalam laptop dan neodimium, yang ditemui pada kincir angin yang boleh menghasilkan tenaga elektrik.
Permintaan keseluruhan mineral jarang ditemui dijangka bertambah empat kali ganda menjelang 2024, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) tahun lalu.
Bagi mineral yang digunakan dalam kenderaan elektrik dan bateri simpanan, permintaannya diramal meningkat 30 kali ganda.
Banyak negara menganggap pemilikan mineral jarang ditemui sebagai keselamatan negara kerana China menguasai pelombongan, pemprosesan atau penapisan kebanyakan sumber mineral itu.
Daripada 35 jenis mineral yang disifatkan sebagai kritikal oleh Amerika, China pembekal terbesar 13 daripadanya, termasuk unsur nadir bumi bagi kegunaan penting teknologi kuasa tenaga bersih.
China juga sumber penting 21 jenis mineral utama bagi Kesatuan Eropah (EU), seperti antimoni yang digunakan dalam bateri. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg