Korea S rancang henti semua sekatan Covid-19
SEOUL: Korea Selatan mendedahkan semalam bahawa ia akan menghentikan semua sekatan berkaitan pandemik minggu depan, termasuk perintah berkurung membabitkan kedai makan, sedang kes Omicron menunjukkan tanda-tanda berkurangan.
Ini meskipun orang ramai tetap diminta memakai pelitup muka buat masa kini.
Mulai 18 April, sekatan malam terhadap restoran dan perniagaan lain akan dihentikan, bersama dengan had perhimpunan persendirian sehingga 10 orang, menurut Perdana Menteri, Encik Kim Boo-kyum, dalam satu mesyuarat respons koronavirus.
"Memakai pelitup muka masih kekal sebagai langkah penting untuk melindungi diri kita.
"Memang tidak dapat dielakkan bagi mandat memakai pelitup di kawasan tertutup ini dikekalkan buat tempoh masa yang agak lama," kata Encik Kim.
Menyentuh tentang pemakaian pelitup muka di luar, Encik Kim berkata pemerintah akan menyemak sama ada sekatan sedia ada akan dihentikan dalam tempoh dua minggu selepas ini, berdasarkan keadaan virus itu.
Jumlah kes koronavirus di negara itu dijangka telah lepas kemuncaknya selepas mencatatat sekitar 62,000 setiap hari pada pertengahan Mac, dengan jangkitan harian kurang daripada 150,000 kes pada Khamis.
Pemerintah mengumumkan rancangan memperluas suntikan penggalak Covid-19 kedua bagi warga berusia 60 tahun ke atas Rabu lalu.
Sebelum ini, pemerintah juga telah mengumumkan ia akan menambah ratusan penerbangan antarabangsa setiap minggu bermula bulan depan.
Ia akan membenarkan tambahan 100 penerbangan mingguan untuk ke destinasi seperti Amerika Syarikat, Eropah, Thailand dan Singapura, dengan pengecualian dan kemasukan bebas visa dibolehkan.
Lebih 100 penerbangan antarabangsa akan ditambah pada Jun dan tambahan 300 lagi pada Julai ini.
Hanya 420 penerbangan antarabangsa kini disediakan untuk perkhidmatan di Korea Selatan, berbanding 4,714 sebelum pandemik Covid-19. - Reuters

