SEOUL: Korea Selatan bakal memperkenal projek perintis menggunakan kecerdasan buatan (AI), pengenalan wajah dan ribuan kamera televisyen bagi menjejak pergerakan orang yang dijangkiti Covid-19, meskipun adanya keprihatinan privasi.
Projek yang dibiayai negara di Bucheon, salah sebuah kawasan paling padat penduduk di pinggir Seoul, dijangka mula beroperasi pada Januari ini, kata seorang pegawai kota itu kepada agensi berita Reuters.
Sistem itu akan menggunakan algoritma AI dan teknologi pengenalan wajah untuk menganalisa rakaman yang dikumpulkan oleh lebih 10,820 kamera litar tertutup (CCTV) dan menjejak pergerakan orang yang dijangkiti, sesiapa yang telah beliau dekati, dan sama ada mereka memakai pelitup, menurut pelan perniagaan 110 halaman dari bandar itu yang dibentangkan kepada Kementerian Sains dan ICT (teknologi maklumat dan penerangan).
Pelaksanaan perintah berkurung bukan satu penyelesaian bijak kepada penularan varian baru Covid-19, Omicron yang terus meningkat sejak kebelakangan ini, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sementara itu, Pengarah Serantau WHO, Dr Poonam Khetrapal Singh berkata, perintah berkurung sekadar salah satu daripada kaedah yang boleh dipertimbangkan, namun bukanlah satu-satunya jalan keluar kepada penularan varian baru itu.
"Ia boleh dijadikan sebagai pilihan terakhir kerana pelaksanaan perintah berkurung sebelum ini terbukti membabitkan kos yang tinggi dan menyusahkan orang ramai.
"Justeru langkah-langkah kesihatan awam seperti pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan kadar vaksinasi perlu diberi tumpuan," katanya minggu lalu.
Varian Omicron berisiko 'sangat tinggi' di seluruh dunia, walaupun wujud ketidakpastian mengenai bahaya dan tahap penularan varian baru itu.
Ia dikesan mempunyai jumlah mutasi lebih 30 kali selain mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi berbanding Delta.
Varian Covid-19 itu yang pertama kali ditemui di Afrika Selatan itu kini sudah merebak ke 38 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Australia, Belgium, Belanda, Britain, India dan Sri Lanka.
Berdasarkan maklumat awal, Dr Poonam menjangkakan dunia bakal menyaksikan lonjakan kes memandangkan kadar penularan Covid-19 membabitkan varian baru itu adalah tinggi.
Namun katanya, adalah munasabah untuk mengandaikan bahawa vaksin yang sedia ada pada ketika ini mampu memberi perlindungan dan mengelakkan kematian. - Agensi berita.