SEOUL: Korea Selatan secara rasmi memulakan tempoh berkempen selama dua minggu hari ini dengan calon-calon yang bertanding perlu mencari cara baru mendekati pengundi sedang negara itu berusaha menangani penularan Covid-19.
Para calon dilihat di jalanan di ibu kota Seoul - bukan untuk bersalaman dengan pengundi tetapi melakukan kerja-kerja pembersihan stesen kereta api bawah tanah dan kedai.
Parti-parti politik yang selalunya mengadakan rapat umum di serata negara tidak dapat melakukan demikian, sebaliknya ramai menggunakan kereta dengan kemudahan pembesar suara untuk menyampaikan pesanan mereka di kawasan-kawasan 'panas'.
Terdapat spekulasi bahawa pengundian bagi memilih 300 anggota Dewan Nasional akan ditangguhkan.
Bagaimanapun pemerintah telah mengumumkan bahawa pilihan raya akan tetap diadakan pada 15 April ini.
Semua pengundi perlu memakai pelitup, berdiri pada jarak dua meter di pusat-pusat mengundi dan menggunakan cecair pembunuh kuman dan sarung tangan sebelum membuang undi.
Para pegawai akan melakukan pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan mejalankan kerja-kerja pembersihan secara kerap.
Terdapat kira-kira 4,000 pesakit koronavirus yang sedang dirawat yang akan dibenarkan untuk mengundi secara pos.
Rakyat negara itu yang kini menetap di 50 negara yang menghadapi wabak koronavirus, termasuk Amerika Syarikat dan banyak negara Eropah, tidak dapat mengundi kerana Korea Selatan tidak membenarkan rakyatnya yang berada di luar negara untuk mengundi.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC) melaporkan 89 kes baru hari ini, menjadikan jumlah pesakit mencapai 9,976 orang.
Seramai 5,828 telah pulih sementara 4,148 lagi masih dirawat. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg