SEOUL: Korea Selatan akan memperketat langkah sekatan bagi membendung penularan Covid-19 yang mencapai paras tertinggi di Seoul, ibu kota negara itu dan beberapa wilayah berhampiran untuk selama dua minggu mulai Isnin ini.
Menurut Perdana Menteri Kim Bookyum semalam, kes Covid-19 di negara itu terus meningkat untuk dua hari berturut-turut.
Korea Selatan melaporkan 1,316 kes baru Covid-19 sehingga tengah malam Jumaat, lebih tinggi daripada 1,275 kes yang dicatatkan sehari sebelumnya.
Kelmarin, pegawai tinggi pemerintah memberi amaran jumlah kes akan meningkat hampir seganda pada akhir bulan ini.
Sebanyak 1,275 kes baru dilaporkan Agensi Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Korea (KDCA) dalam tempoh 24 jam kelmarin.
Jumlah itu melebihi kes harian yang dilaporkan pada kemuncak gelombang ketiga negara berkenaan Disember lalu.
Negara itu kini sedang mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan pergerakan ke tahap tertinggi ketika gelombang keempat menular dengan cepat, terutama dalam kalangan individu yang tidak divaksin berusia 20-an dan 30-an.
Peningkatan varian Delta juga membimbangkan pegawai kesihatan.
Hanya 10 peratus daripada 52 juta populasi negara itu divaksin sepenuhnya sejauh ini, sementara 30 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos dengan kebanyakannya berusia 60 tahun ke atas.
Sehingga kini, kes kumulatif jangkitan Covid-19 di Korea Selatan berjumlah 164,028 kes dengan 2,034 kematian.
Korea Selatan mula mengalami peningkatan mendadak jumlah pesakit baru Covid-19 sejak Disember, seolah-olah amaran awal dilanda gelombang keempat selepas musim panas berakhir.
Menurut agensi berita Yonhap, pihak berkuasa kesihatan melanjutkan arahan jarak sosial di kawasan besar Seoul selama seminggu dan mungkin langkah lebih tegas diambil jika penularan tidak terkawal.
Negara itu melaporkan 1,212 kes baru jangkitan koronavirus pada Rabu lalu, termasuk 1,168 jangkitan tempatan, menjadikan 162,752 jangkitan setakat ini, kata Agensi Pencegahan dan KDCA.
Angka itu jumlah tertinggi sejak 25 Disember tahun lalu, ketika gelombang ketiga mencapai kemuncak dengan 1,240 kes.
Korea Selatan merekodkan satu lagi kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan 2,033 maut. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg