Topik diikuti
Pergi ke BHkuKorea U lepaskan tembakan artileri dekat perairan Korea S
Korea U lepaskan tembakan artileri dekat perairan Korea S
SEOUL: Korea Utara melepaskan tembakan artileri di pantai timur dan barat negara itu lewat kelmarin, kata tentera Korea Selatan, selepas Seoul memulakan latihan pertahanan tahunan yang bertujuan meningkatkan keupayaannya untuk bertindak balas terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu dari Utara.
Korea Utara melepaskan kira-kira 100 peluru ke arah laut di luar pantai baratnya sekitar 10 malam (1300 GMT) dan menembak 150 das tembakan lagi di luar pantai timurnya, kata Ketua Turus Bersama Korea Selatan dalam satu kenyataan semalam.
Korea Utara kemudian berkata bahawa tembakan itu dijalankan untuk mengirim "amaran tegas" kepada Korea Selatan sebagai tindak balas terhadap tembakan berpuluh-puluh peluru artileri kelmarin antara 9.55 pagi dengan 5.22 petang.
Staf Jeneral Tentera Rakyat Korea (KPA) berkata "latihan perang Korea Selatan terhadap utara sedang berlangsung dengan cara terburu-buru".
"Untuk menghantar amaran serius sekali lagi, ia memastikan unit KPA di bahagian timur dan barat melakukan tembakan amaran yang mengancam ke arah laut timur dan barat pada malam 18 Oktober, sebagai tindakan balas tentera yang kuat," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh media pemerintah KCNA.
"Musuh harus segera menghentikan provokasi melulu dan menghasut yang meningkatkan ketegangan tentera di kawasan hadapan."
Latihan Hoguk, yang dijadualkan berakhir pada Sabtu, adalah yang terbaru dalam siri latihan ketenteraan Korea Selatan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk kegiatan bersama Amerika Syarikat dan Jepun. - Agensi berita.