SEOUL: Cik Kim Jo Yong yang merupakan adik pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, berkata satu perjanjian antara Amerika Syarikat dengan Korea Selatan minggu ini mengenai pentingnya mempertingkat keselamatan Korea Selatan, akan memburukkan situasi, menurut media negara, KCNA, pada Sabtu.
Akibatnya, Korea Utara yakin bahawa ia mesti terus “mengelakkan perang nuklear”, kata Cik Kim.
Cik Kim Yo Jong berkata:
“Lebih banyak musuh yang bersiap sedia untuk latihan perang nuklear dan lebih banyak aset nuklear yang dikerah ke semenanjung Korea, lebih kukuh lagi hak kami untuk mempertahankan diri agar sejajar dengan usaha mereka itu.”
Katanya, perjanjian antara Amerika dengan Korea Selatan itu hanya akan membuat keamanan dan keselamatan di Timur Laut Asia terdedah kepada bahaya yang lebih serius dan ia satu tindakan yang tidak boleh diterima.
Kenyataan Cik Kim merupakan komen pertama Korea Utara mengenai mesyuarat itu dan ia menyarankan bahawa langkahnya mempamerkan kekuatan ketenteraan dan pembangunan senjatanya akan diteruskan,
Presiden Amerika, Encik Joe Biden dan Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, bertemu minggu ini dengan Amerika berikrar memberi Korea Selatan butiran lebih terperinci mengenai rancangan nuklearnya.
Ini sebagai persiapan kepada sebarang konflik dengan Korea Utara di sebalik rasa bimbang jumlah peluru berpandu serta bom Pyongyang semakin bertambah.
Sebuah kapal selam yang membawa senjata nuklear milik angkatan laut Amerika juga akan melawat Korea Selatan buat kali pertama sejak 1980-an, bagi menunjukkan keteguhan tekad Washington melindungi negara itu daripada serangan Korea Utara. – Agensi berita.