SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, mendedahkan semasa mesyuarat Parti Pekerja, akan hasrat terbaru ketenteraan negaranya bagi tahun 2023, sekali gus membayangkan satu lagi ujian senjata intensif dan ketegangan berterusan.
Pada hari kedua Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Pusat ke-8 parti itu di Pyongyang, yang dilaporkan semalam, Encik Kim dilaporkan akan mengkaji semula "situasi mencabar yang baru diwujudkan" di Semenanjung Korea dan landskap politik yang lebih luas.
Katanya, pemimpin generasi ketiga itu menetapkan hala tuju untuk "perjuangan anti-musuh dan matlamat memperkukuh kuasa pertahanan".
"Beliau menyatakan prinsip-prinsip ehwal luar dan hala tuju perjuangan menentang musuh yang parti dan kerajaan mesti patuhi secara menyeluruh bagi melindungi hak kedaulatan dan mempertahankan kepentingan negara.
"Matlamat teras baru mengukuhkan keupayaan pertahanan diri yang akan diteruskan pada 2023 sudah dibentangkan sebagai persediaan menghadapi pelbagai situasi politik yang turun naik," kata agensi berita rasmi negara itu, KCNA.
KCNA bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai matlamat berkenaan namun kenyataan Encik Kim boleh menunjukkan negara terbabit akan terus mempercepatkan kemajuan tenteranya.
Korea Utara sudah melancarkan sejumlah peluru berpandu tahun ini - sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini - dan banyak pelancaran direka untuk membangunkan senjata strategik "keutamaan utama" di bawah pelan lima tahun yang dibentangkan pada kongres Parti Pekerja pada awal 2021.
Senarai itu termasuklah senjata nuklear taktikal, peluru berpandu balistik antara benua baru, kepala peledak penerbangan hipersonik, kapal selam berkuasa nuklear dan satelit peninjau. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg