
SEOUL: Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak pertengahan atau lebih jauh pada Khamis, kata Korea Selatan dan Jepun.
Tindakan itu telah mendorong Jepun untuk mengeluarkan amaran kepada penduduk di pulau utara Jepun, Hokkaido untuk berlindung.
Pihak berkuasa Jepun kemudian menarik balik amaran itu, dan berkata sistem amaran kecemasan telah membuat ramalan yang salah peluru berpandu itu akan jatuh berhampiran pulau tersebut.
Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida berkata kerajaannya akan mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara mengenai pelancaran berkenaan.
Menteri pertahanan Jepun, Encik Yasukazu Hamada, berkata peluru berpandu itu kelihatan ditembak ke arah timur pada sudut tinggi.
Beliau berkata peluru berpandu itu tidak jatuh di wilayah Jepun, dan kementerian pertahanan sedang menganalisis pelancaran peluru tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Pengawal pantai Jepun berkata peluru itu telah jatuh di laut di sebelah timur Korea Utara.
Encik Hamada berkata beliau tidak dapat mengesahkan sama ada peluru berpandu itu terbang di ruang zon ekonomi eksklusif Jepun.
Pelancaran itu dibuat beberapa hari selepas media negara Korea Utara KCNA melaporkan bahawa pemimpin Kim Jong Un menggesa agar pencegahan perang negara itu diperkukuh dengan cara yang "lebih praktikal dan menyerang" untuk menentang apa yang disifatkan sebagai tindakan pencerobohan oleh Amerika Syarikat.
Peluru berpandu itu ditembak pada 7.23 pagi (6.23 pagi waktu Singapura) dari dekat Pyongyang, kata Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS).
Tentera Korea Selatan berkata ia berada dalam keadaan berjaga-jaga dan mengekalkan tahap kesediaan dalam kerjasama rapat dengan Amerika.
Korea Utara telah mengkritik siri latihan ketenteraan bersama antara Amerika dan Korea Selatan baru-baru ini sebagai ketegangan yang semakin memuncak. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg