PYONGYANG: Korea Utara meluluskan undang-undang yang mengisytiharkannya sebagai negara senjata nuklear.
Menurut agensi berita KCNA, pemimpinnya, Encik Kim Jong-un, menyifatkan keputusan tersebut 'tidak boleh diubah', sekali gus menolak sebarang kemungkinan untuk menghentikan program pembangunan nuklear di negara ini.
Undang-undang tersebut juga memberi hak kepada Korea Utara untuk menggunakan senjata nuklear sebagai pertahanan sekiranya diserang.
Di sebalik berdepan sekatan demi sekatan, Pyongyang sudah melancarkan enam ujian peluru berpandu antara 2006 dan 2017.
Kesemua pelancaran itu melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain acap kali mengancam untuk melancarkan serangan peluru berpandu ke daratan Amerika Syarikat (AS).
Pada 2019, pertemuan antara Encik Kim dengan bekas Presiden AS, Encik Donald Trump, gagal mencapai kata sepakat mengenai program nuklear negara ini.
Menerusi pentadbiran Presiden Joe Biden, AS dilihat bersedia sekali lagi untuk mengadakan perbincangan dengan Korea Utara mengenai isu yang sama, namun sehingga kini, tiada perkembangan direkodkan.
Dalam perkembangan lain, Encik Kim mencadangkan supaya rakyatnya mengambil suntikan vaksin Covid-19 pada November ini.
Dalam ucapannya, pemimpin Korea Utara itu menyebut amaran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai peningkatan gelombang jangkitan koronavirus pada musim sejuk ini.
"Kita patut mencadangkan semua penduduk supaya memakai pelitup muka dan juga mengambil vaksin Covid-19," kata Encik Kim.
Bagaimanapun, Korea Utara belum menentukan dari mana mereka akan mendapatkan vaksin Covid-19 dan berdasarkan rekod hubungan baik negara ini dengan China, kemungkinan bekalan akan diambil dari Beijing.
Pada bulan lalu, Encik Kim mengesahkan negara ini 'sudah bebas' Covid-19. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg