Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Korea Utara sahkan ujian 'penting' bangun satelit intip

Dec 20, 2022 | 5:30 AM
UJI SATELIT INTIP: Gambar ini merakam apa yang kelihatan seperti ujian yang berkaitan dengan pembangunan satelit peninjau ketika ia dilancarkan dari Tapak Pelancaran Satelit Sohae di Tongchang-ri, Korea Utara. - Foto AFP
UJI SATELIT INTIP: Gambar ini merakam apa yang kelihatan seperti ujian yang berkaitan dengan pembangunan satelit peninjau ketika ia dilancarkan dari Tapak Pelancaran Satelit Sohae di Tongchang-ri, Korea Utara. - Foto AFP -

SEOUL: Media kerajaan Korea Utara, KCNA semalam melaporkan negara itu sedang melaksanakan 'ujian penting fasa akhir' melibatkan pembangunan satelit pengintip semalam, yang dijangka siap sepenuhnya pada April tahun depan.

Laporan itu diterbitkan sehari selepas tentera Korea Selatan dan Jepun memaklumkan Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak pertengahan ke arah pantai timur.

Menurut KCNA, Pentadbiran Pembangunan Aeroangkasa Nasional Korea Utara (Nada) menjalankan ujian berkenaan di stesen pelancaran satelit Sohae untuk meneliti keupayaan pengimejan satelit, pemindahan data dan sistem kawalan darat.

Sebuah kenderaan yang membawa satelit percubaan, yang dipasang beberapa kamera, penghantar dan penerima imej, alat kawalan serta bateri simpanan, dilancarkan dari sudut tinggi 500 kilometer.

"Kami mengesahkan penanda aras teknikal penting seperti teknologi operasi kamera dalam persekitaran angkasa, pemprosesan data dan keupayaan penyampaian alat komunikasi, pengesanan serta ketepatan kawalan sistem kawalan darat," kata jurucakap Nada, lapor KCNA.

Jurucakap itu menyifatkan ujian berkenaan sebagai 'masuk ke proses akhir pelancaran satelit pengintip', yang akan siap sepenuhnya menjelang April.

KCNA turut menyiarkan dua gambar hitam putih beresolusi rendah menunjukkan ibu negara Korea Selatan, Seoul dan bandar pelabuhan Incheon, yang didakwa diambil ketika ujian berkenaan.

Korea Utara melaksanakan sejumlah besar ujian peluru berpandu tahun ini, termasuk peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang direka untuk mampu sampai ke Amerika Syarikat, sekali gus menentang sekatan antarabangsa.

Jumaat lalu, Korea Utara menguji enjin bahan api pepejal tujahan tinggi, yang disifatkan pakar sebagai mampu mempercepat pelancaran peluru berpandu balistik secara lebih pantas dan bebas bergerak, dalam usaha negara itu membangunkan senjata strategik baru dan mempercepat program senjata nuklearnya.

Pyongyang pernah menguji sisten satelitnya beberapa kali ketika pelancaran roket, dengan pemerintahnya Kim Jong Un pernah menyatakan satelit pengintip diwujudkan untuk memperoleh maklumat masa nyata mengenai kegiatan ketenteraan Amerika dan sekutunya. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg