KUALA LUMPUR: Kos penganjuran pilihan raya umum (PRU) sebelum Julai tahun depan dijangka mencecah hingga lebih RM1 bilion ($310 juta), lapor Berita Harian Malaysia (BHM) hari ini.
Jumlah itu adalah dua kali kos menganjurkan PRU-14 iaitu sekitar RM500 juta manakala perbelanjaan bagi PRU13 adalah sekitar RM400 juta.
Ini disahkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, yang menganggarkan kos bagi pelaksanaan PRU15 adalah kira-kira RM1.01 bilion.
Beliau berkata, perbelanjaan besar itu termasuk bagi menampung peningkatan jumlah pengundi baharu melalui pelaksanaan had umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik yang dikuatkuasakan sejak Disember tahun lalu.
Ia sekali gus akan menyebabkan berlakunya pertambahan pusat mengundi, saluran mengundi, petugas pilihan raya dan pembelian peralatan untuk menjayakan PRU15 yang boleh diadakan bila-bila masa.
"SPR mengambil tindakan yang perlu bagi membuat persiapan sewajarnya sekiranya PRU15 dilaksanakan pada tahun ini.
"Namun SPR perlu mengambil kira dan memastikan keselamatan semua aspek dan individu sama ada petugas, calon serta pengundi.
"Dalam konteks PRU15 nanti ada peningkatan jumlah pengundi baharu, maka akan berlaku pertambahan pusat mengundi, saluran mengundi, petugas pilihan raya dan pembelian peralatan," katanya kepada BH.
Pada PRU14 lalu, perbelanjaan dikeluarkan bagi menampung keseluruhan perjalanan pilihan raya adalah sekitar RM500 juta iaitu meningkat RM100 juta daripada PRU13 sebelumnya.
Pembabitan pengundi berusia 18 tahun dan pendaftaran pemilih buat kali pertama kali dilaksanakan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada Mac lalu. - BHM
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg