KUALA LUMPUR: Kebanyakan agensi pelancongan di negara ini sedang meneliti semula pakej umrah bernilai sekitar RM 7,890 ($2,427) yang ditawarkan ketika ini dengan jangkaan terpaksa menaikkan harganya sehingga sekitar RM10,000 bagi setiap jemaah.
Ia berikutan kenaikan mendadak pelbagai kos di Mekah dan Madinah, terutama bayaran penginapan dan makanan, selain kos penerbangan ke Jeddah di Arab Saudi.
Difahamkan, sejak Oktober tahun lalu, agensi pelancongan berdepan masalah berkenaan, namun ada yang mengambil jalan tengah dengan menyerap kos tambahan agar tidak membebankan jemaah.
Apa yang merunsingkan adalah kos penginapan dan penerbangan yang terus melonjak sehingga ada agensi terpaksa membawa jemaah ke Tanah Suci dengan menanggung sendiri kos tambahan kerana kenaikan berlaku secara mengejut dan berterusan.
Pengasas bersama SafarTrips Umrah, Rizal Mohamad mengakui agensi pelancongan seperti syarikatnya kini beroperasi dalam keadaan tertekan dengan keuntungan semasa merudum teruk hampir 50 peratus.
"Keuntungan kami berkurangan hampir 50 peratus. Malah ada kumpulan jemaah yang bakal dibawa pada Januari ini, memang kami (terpaksa tanggung) rugi. Kami tak mahu minta (jemaah) bayar lebih, jadi kami tanggung sendiri kos itu dengan jemaah hanya bayar harga pakej seperti dipersetujui.
"Disebabkan pelbagai kenaikan ini, kami tidak ada jalan lain, terpaksa semak dan ubah harga pakej semasa. Pakej paling murah pun selepas ini, mungkin lebih RM9,000. Sebelum ini ada pakej serendah RM7,000 lebih, tetapi ia tidak dapat dikekalkan lagi," katanya kepada BHM.
Encik Rizal berkata, bagi mengelak menanggung kerugian besar, syarikatnya berunding dengan jemaah untuk menempatkan mereka di lokasi penginapan agak jauh ketika di Mekah, selain mengurangkan tempoh masa berada di Tanah Suci, misalnya daripada 12 hari kepada sembilan hari.
Mengenai harga tiket penerbangan, katanya, ia naik mendadak dengan penerbangan terus ke Jeddah kini mencecah RM4,000 berbanding sekitar RM2,800 hingga RM3,200 sebelumnya, manakala harga penginapan untuk satu malam bagi bilik memuatkan empat orang boleh mencecah 1,000 riyal ($351).
"Sepatutnya kerajaan dan agensi berkaitan campur tangan menangani isu ini. Ini kerana selalunya agensi umrah akan jadi mangsa manakala jemaah pula fikir pihak kami yang sengaja naikkan harga.
"Malah ada kes apabila sampai di Tanah Suci, hotel di sana membatalkan tempahan yang sudah dibuat lebih awal. Selain itu, ada hotel di Arab Saudi tidak ikut kontrak apabila menaikkan sewa penginapan secara tiba-tiba dengan alasan mereka menerima permintaan amat tinggi," katanya lagi. - BHM
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg