Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

MALAYSIA: E-MEL DARI KL

Krisis kepimpinan Umno makin tenat

Feb 07, 2023 | 05:30 AM



KRISIS kepimpinan Umno semakin tenat berikutan pemecatan dan penggantungan beberapa orang pemimpin kanan parti itu secara mengejut.



Dua orang mantan Menteri , Encik Khairy Jamaludin dan Tan Sri Noh Omar, dipecat sementara mantan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein Onn digantung keahlian enam tahun.



Mereka menghadapi pelbagai tuduhan melanggar perlembagaan parti termasuk melanggar disiplin dan menjejas kestabilan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.



Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan langkah memecat 42 orang ahli dan menggantung tujuh yang lain sebagai "pembersihan besar-besaran" daripada mereka yang "menembak kaki sendiri".



Para penganalisis politik berpendapat tindakan itu bertujuan mengukuhkan kedudukan Datuk Ahmad Zahid yang tergugat setelah beliau dicabar meletakkan jawatan berikutan kekalahan teruk yang dialami Umno pada PRU15.



Ini diburukkan lagi dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Naib Presiden dalam pemilihan parti Mac nanti.



Pemecatan Encik Khairy memang sudah dijangka kerana beliau orang paling lantang mengkritik kepimpinan Umno secara terbuka sehingga pernah menuduh "parti itu sudah sesat dan mahu membersihkannya" ketika berkempen pada PRU15.



Namun, pemecatan Tan Sri Noh Omar seorang ahli politik veteran yang mempunyai pengaruh kuat di Selangor diselubungi kontroversi.



Beliau yang pernah menjadi Ahli Parlimen (AP) Tanjung Karang selama lima penggal dikatakan menghadapi 16 pertuduhan kerana bersubahat menyebabkan kekalahan calon Umno di kawasan undi itu pada PRU15.



Beliau pada mulanya hanya digantung keahlian tetapi meminta supaya dirinya dipecat.



Penggantungan Datuk Hishamuddin pula dikatakan ekoran daripada pelibatan beliau cuba mendapatkan sokongan AP Umno menyokong Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri.



Namun sumber dalaman Umno mengatakan Datuk Hishamuddin seharusnya dipecat tetapi oleh kerana beliau adalah seorang AP, pemecatannya akan mengakibatkan Umno hilang satu kerusi di Parlimen.



"Apa yang berlaku tidak sesekali akan mematahkan semangat saya untuk terus berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.



"Ini bukan satu pengakhiran. Malah ia satu permulaan. Satu permulaan baru," kata beliau dalam satu muat naik Instagram.



Ketika dihubungi untuk mengulas tengkarah yang berlaku, Felo Kanan Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa( ISIS) Malaysia, Encik Eddin Khoo, mengatakan pemecatan dan penggantungan pemimpin berpengaruh bukan sesuatu yang luar biasa dalam tradisi Umno.



Ia pernah berlaku semasa era Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi dan Encik Najib Razak.



" Waktu itu Umno kuat, Dr Mahathir amat berpengaruh sehingga berupaya singkirkan Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.



"Tetapi kali ini ia berlaku pada masa Umno berada dalam keadaan cemas dan langkah ini amat membahayakan parti," kata Encik Eddin Khoo.



Keresahan dalam Umno semakin meruncing apabila mantan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri membantah langkah itu secara terbuka.



Menurut beliau keputusan itu tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip keadilan asasi seperti hak membela diri.



"Proses ini tidak dilaksanakan, saya dimaklumkan Jawatankuasa Disiplin tidak pernah menasihatkan presiden untuk sebarang tindakan namun hanya memaklumkan tentang terdapat laporan dibuat terhadap yang dituduh.



"Maka saya menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana terdapat kecacatan nyata dalam proses membuat keputusan memecat dan menggantung mereka," jelas beliau.



Persoalan besar yang menjadi tanda tanya ialah bagaimana krisis kepimpinan Umno ini akan menjejas kredibiliti dan keupayaan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Anwar.



"Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan di enam negeri pada Jun atau Julai akan memberi bayangan mantap yang menentukan hala tuju kerajaan perpaduan sekarang ini.



"Cabaran terbesar Datuk Ahmad Zahid ialah meredakan keresahan dalam Umno dan beliau memerlukan bantuan Datuk Anwar yang masih mempunyai ramai penyokong dalam parti itu," kata Encik Eddin Khoo.



Ramai penganalisis berpendapat jika perbalahan kepimpinan Umno tidak segera diredakan, besar kemungkinan Umno akan mengalami kekalahan teruk dalam PRN nanti.



"Apa yang berlaku sekarang adalah retakan dalam tembok-tembok politik Malaysia. Ia adalah sesuatu yang sihat dan baik untuk perkembangan demokrasi," ujar Encik Eddin Khoo.




► Penulis mantan wartawan BH dan kini menetap di Kuala Lumpur. Beliau penulis tamu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >