Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Krisis tenaga di Mesir: Apabila kedai diarah tutup lebih awal pada sebelah malam...

Sep 9, 2024 | 5:30 AM
Meskipun kini berdepan krisis tenaga sehingga kedai perlu ditutup lebih awal pada waktu malam, rakyat Mesir masih meneruskan tradisi seperti seorang penari Mesir ini yang membuat persembahan di Tanoura di luar kedai kopi di jalan al-Muizz di Kahirah pada 29 Ogos.
Meskipun kini berdepan krisis tenaga sehingga kedai perlu ditutup lebih awal pada waktu malam, rakyat Mesir masih meneruskan tradisi seperti seorang penari Mesir ini yang membuat persembahan di Tanoura di luar kedai kopi di jalan al-Muizz di Kahirah pada 29 Ogos. - Foto AFP

KAHIRAH: Ketika jam mencecah 10 malam di kawasan Sayyida Zeinab di Kahirah, suasana berubah dengan ketara.

Berbeza dengan musim panas sebelumnya apabila bandar itu sentiasa sibuk hingga larut malam, kini keadaan sekeliling berubah.

Jalan-jalan yang biasanya terang benderang dan penuh berwarna, kini mula meredup.

Dengan perintah penutupan awal akibat krisis tenaga, banyak kedai dan kafe yang ditutup lebih awal, meninggalkan kawasan itu dalam suasana suram.

Musim panas dahulu adalah waktu apabila penduduk bandar menyesuaikan jadual harian mengikut masa.

Siang hari adalah masa untuk mengelak daripada panas matahari, manakala malam pula menawarkan sedikit kelegaan.

Namun, pada 2024, krisis tenaga telah memaksa pemerintah menetapkan waktu penutupan lebih awal.

Kedai perlu ditutup pada 10 malam, manakala kafe, restoran, dan pusat beli-belah harus ditutup pada tengah malam, kecuali pasar raya dan farmasi yang dibenarkan dibuka lebih lama.

Seorang penduduk, Cik Hind Ahmed, 51 tahun, meluahkan rasa kecewa.

“Kalau kita keluar membeli-belah pada siang hari, kita akan berasa terlalu panas,” katanya, setelah mengambil pakaian daripada tukang jahit selepas solat isyak di masjid ikonik, Sayyida Zeinab.

“Sekarang kami terpaksa berpanas kerana kedai tutup lebih awal,” tambah beliau.

Teman Cik Hind, Cik Wafaa Ibrahim, 46 tahun, mengatakan bahawa beliau jarang keluar rumah lagi kerana masalah kewangan.

“Setiap kali duit habis, saya hanya tinggal di rumah... Sekarang saya tidak pergi membeli-belah kerana saya tidak mahu menambah kemurungan,” katanya.

Walaupun arahan menutup kedai pada 10 malam telah dikuatkuasakan, ada kedai yang masih enggan mematuhinya.

Polis sering membuat rondaan di jalan utama untuk memastikan arahan dipatuhi.

Suasana di kawasan itu menjadi agak sunyi, dengan jumlah pengunjung yang tidak seramai dulu. Hanya bunyi motosikal dan tuk-tuk iaitu motosikal beroda tiga yang membawa penumpang yang masih kedengaran.

Keadaan itu menambahkan lagi kesulitan yang dihadapi penduduk setempat.

Kehidupan di kawasan perumahan yang didiami kalangan pekerja seperti Cik Sayyida Zeinab, dengan muzik yang bising, jualan kacang dan gula-gula yang penuh bergemerlapan, sering kali menggambarkan suasana meriah.

Namun, di sebalik wajah ceria tersebut, ramai penduduk mengalami kesulitan hidup yang semakin mendalam.

Encik Saied Mahmoud, 41 tahun, seorang pekerja di kedai pakaian kecil bapanya berhampiran masjid, menggambarkan suasana yang suram.

“Semua orang seperti mati di dalam hati mereka. Mereka sudah menyerah,” kata Encik Saied.

Walaupun inflasi telah reda sediki, beliau masih menghadapi kesukaran kerana harga yang tinggi dan kekurangan pekerjaan yang baik, walaupun memiliki ijazah sarjana dalam bidang perniagaan.

Kos perkahwinan dan keluarga terasa terlalu berat untuk dipertimbangkan.

Keadaan menjadi kian buruk apabila Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, yang memerintah sejak rampasan kuasa tentera pada 2013, telah menjanjikan kemakmuran bagi negara itu.

Namun, bagi kebanyakan rakyat Mesir, dekad terakhir menyaksikan kemerosotan yang berterusan.

Penurunan nilai mata wang sejak 2016 telah meyukarkan keupayaan mereka untuk membeli barang-barang import yang bergantung kepada negara tersebut.

Pandemik Covid-19 dan konflik di Ukraine dan Timur Tengah telah menambah beban ekonomi yang sudah melemah.

Walaupun terdapat suntikan dana daripada pelabur antarabangsa yang telah menstabilkan ekonomi, ramai penganalisis berkata negara itu mungkin menghadapi krisis baru melainkan langkah utama diambil.

Mesir mengumumkan bahawa hampir 30 peratus rakyatnya hidup dalam kemiskinan sebelum krisis ekonomi terkini.

Bantuan kewangan daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memaksa pemerintah mengurangkan subsidi roti, gas, dan elektrik yang penting bagi ramai rakyat miskin.

Baru-baru ini, Mesir telah meningkatkan harga elektrik lagi.

Ini menyebabkan kedai gunting milik Encik Ahmed Ashour, yang biasanya dibuka dari 7 malam hingga 5 pagi, terjejas.

Encik Ahmed terpaksa berhadapan dengan jumlah pelanggan yang semakin sedikit dan kemerosotan pendapatan kerana kesukaran kewangan yang melanda.

“Kami kehilangan sekitar 70 peratus perniagaan semasa krisis ekonomi ini,” katanya.

Di satu lorong berhampiran, Encik Hosni Mohammed, 67 tahun, sedang menutup kedai kecilnya yang menjual cermin mata.

Beliau berasa hampir tiada pelanggan yang datang sejak kebelakangan ini.

“Seseorang pernah berkata kepada saya bahawa perniagaan hanya ‘tidur’, tetapi tidak akan mati sepenuhnya,” katanya dengan penuh harapan.

“Begitu juga dengan Mesir. Ia penat, tetapi tidak akan mati,” tambah beliau.

Dengan cabaran ekonomi yang berterusan, penduduk Kahirah seperti Encik Hosni dan Encik Ahmed terus berjuang untuk meneruskan kehidupan mereka.

Mereka berharap akan ada perubahan yang dapat membawa kembali kemakmuran dan kegembiraan ke bandar mereka, walaupun keadaan semasa memberi tekanan yang hebat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg