Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS kritik M'sia hantar pulang 1,000 warga Myanmar

Feb 26, 2021 | 5:30 AM
HANTAR PULANG: Sebuah trak imigresen kelihatan membawa pendatang Myanmar untuk dihantar pulang. - Foto AFP
HANTAR PULANG: Sebuah trak imigresen kelihatan membawa pendatang Myanmar untuk dihantar pulang. - Foto AFP -

WASHINGTON: Amerika Syarikat kelmarin mengkritik langkah Malaysia menghantar pulang lebih 1,000 warga Myanmar ke negara asal, sekaligus melanggar perintah mahkamah.

Para pendatang itu, yang disifatkan para aktivis sebagai pemohon suaka rentan, meninggalkan Malaysia dengan menaiki kapal tentera laut Myanmar dari pangkalan tentera Malaysia beberapa minggu selepas berlakunya rampasan kuasa di negara berkenaan.

Kumpulan hak asasi mengkritik hebat langkah tersebut, dan beberapa jam sebelum penghantaran pulang mereka, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan agar penghantaran itu dihentikan buat sementara bagi membenarkan tindakan tersebut dicabar oleh para aktivis.

Amerika Syarikat, di bawah kepimpinan Presiden Joe Biden, telah mempertingkat kemasukan pelarian ke negaranya dan berusaha memberi tekanan bagi menghentikan rampasan kuasa yang berlaku di Myanmar.

Pentadbiran Biden melahirkan "keprihatinan" terhadap langkah Malaysia, yang hubungan dua hala antara kedua-dua negara adalah baik sejak beberapa tahun lalu.

Jurucakap Jabatan Negara, Encik Ned Price berkata, junta tentera di Myanmar, "sejak lama telah melakukan pelanggaran hak asasi manusia terhadap kumpulan beragama dan kaum minoriti".

Encik Price maklum bahawa Malaysia meneruskan langkah penghantaran pulang pelarian "walaupun sebuah mahkamah Malaysia melarang penghantaran balik itu dan dalam keadaan Burma yang kini tidak menentu akibat kudeta".

"Kami terus menggesa semua negara dalam rantau itu untuk mempertimbangkan semula langkah penghantaran pulang warga Burma ke negara mereka sehinggalah UNHCR dapat menilaikan sama ada pelarian ini punya perlindungan," kata Encik Price kepada wartawan di Washington, merujuk kepada agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Para pegawai tidak dapat menawarkan apa-apa penerangan mengapa mereka mengenepikan arahan mahkamah dan menghantar pulang 1,086 pendatang asing dari Myanmar.

Dalam satu kenyataan bersama, empat wakil rakyat dari parti pembangkang mengutuk langkah penghantaran yang tidak berperikemanusiaan itu dan menyarankan pegawai kerajaan harus dikenakan tuduhan menghina mahkamah kerana mengabaikan arahan undang-undang yang sah.

"Tindakan ini... jelas menonjolkan yang kerajaan Malaysia tidak menghormati proses mahkamah yang berlangsung dan meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang buruk bagi hak asasi manusia," kata mereka. - CNA

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg