KUALA LUMPUR: Kemelut politik yang melanda Malaysia di tengah-tengah pandemik ini memasuki fasa selanjutnya semalam, selepas Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ikuti urutan kejadian sejak Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri sehingga masa ini.

23 Feb 2020: Muhyiddin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan parti itu keluar Pakatan Harapan (PH).

24 Feb 2020: Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh.

1 Mac 2020: Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

12 Jan 2021: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021. Tempoh ini boleh diakhiri lebih awal jika keadaan mengizinkan.

7 Jul 2021: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menarik balik sokongan bagi kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin. Ia juga menuntut Muhyiddin meletak jawatan dan memberi laluan kepada seorang Perdana Menteri dilantik bagi tempoh - untuk menguruskan pandemik.

26 Jul 2021: Sidang Khas Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membincangkan pandemik Covid-19. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini. Semua ordinan yang dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan pada 21 Julai lalu.

29 Jul 2021: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, desak Perdana Menteri letak jawatan kerana mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahas dan diungkai di Parlimen.

3 Ogos 2021: MKT Umno sebulat suara menarik sokongan bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin.

4 Ogos 2021: Muhyiddin dalam perutusan khas menjelaskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri masih utuh dan mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Beliau turut menegaskan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri dan berkata kedudukan kerajaan PN akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada September.

6 Ogos 2021: Seramai 31 Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) diketuai Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyatakan sokongan bagi kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

9 Ogos 2021: Umno mengesahkan utus dua warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bertarikh 30 Julai dan 4 Ogos lalu, menyatakan penarikan sokongan kepada Muhyiddin.

13 Ogos 2021: Tan Sri Muhyiddin mengemukakan cadangan persefahaman rentas parti bagi membolehkan usul percaya kepada Perdana Menteri diluluskan dengan undi bipartisan di Dewan Rakyat, untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba masa sesuai untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan.

Umno, Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ahli Parlimen Bebas tolak tawaran Muhyiddin.

15 Ogos 2021: Tan Sri Muhyiddin menghadiri mesyuarat bersama pimpinan PN di Publika. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata Muhyiddin memaklumkan akan menyerah surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

16 Ogos 2021: Tan Sri Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya, sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.