KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, pada Sabtu (16 Jun) menawarkan diri bertanding bagi jawatan presiden Umno pada pemilihan parti akhir bulan ini.

Bercakap kepada pemberita di kediamannya di Jalan Langgak Golf, di sini, beliau berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti dan memperhalusi, terutama soal kepemimpinan.

"Saya dengan rendah diri menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno, saya yakin dapat memimpin Umno untuk meneruskan tradisi dan bercadang untuk memastikan Umno sebagai pembangkang setia bertanggungjawab terhadap negara," katanya.

Beliau, yang juga dikenali sebagai Ku Li, menjadi menteri kewangan pada 1976 hingga 1984.

Berusia 81 tahun, Ku Li wakil rakyat paling lama berkhidmat selepas berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang, yang kali pertama dimenanginya pada 1974, pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Sejaun ini, pemangku presiden Umno, mantan timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi satu-satunya individu yang dikatakan akan bertanding bagi jawatan tersebut. Bagi jawatan timbalan presiden, dua nama sudah mengesahkan akan bertanding, iaitu ketua penerangan Tan Sri Annuar Musa dan mantan menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir pada sidang media Ku Li hari ini ialah mantan menteri besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan mantan menteri kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Diminta mengulas mengenai kerjasama dengan parti komponen Barisan Nasional (BN), termasuk Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC), beliau berkata langkah itu harus diteruskan bagi mengukuhkan kekuatan BN.

Mengenai isu Datuk Dr Ahmad Zahid yang didakwa mengamalkan politik wang untuk memenangi jawatan presiden, Ku Li berkata tindakan akan diambil jika dakwaan itu terbukti benar. - BH Online.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti