PETALING JAYA: Pengembara dari luar negara yang sudah lengkap dos penggalak Covid-19 hanya perlu menjalani kuarantin selama lima hari sejurus tiba di Malaysia bermula lusa.

Mengumumkan demikian, Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaluddin, berkata golongan pengembara itu perlu menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) Covid-19 dua hari sebelum perjalanan, sejurus tiba di negara itu dan pada hari keempat kuarantin; atau menggunakan kit ujian pantas (ART) pada hari kelima yang diselia pegawai kesihatan.

Pengembara akan dilepaskan daripada tempoh kuarantin jika keputusan PCR pada hari keempat atau ART pada hari kelima itu adalah negatif.

Beliau menambah, bagi pengembara yang tiada dos penggalak tetapi lengkap vaksin, tempoh kuarantin ditetapkan adalah tujuh hari, sementara 10 hari pula bagi mereka yang tiada rekod vaksinasi lengkap.

"Pengurangan tempoh kuarantin bagi pengembara dari luar negara ini akan mula berkuat kuasa pada Isnin, 24 Januari 2022," katanya pada satu sidang media kelmarin.

Keputusan itu dibuat berdasarkan data, sains dan pengalaman negara lain yang menguruskan pengembara antarabangsa.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menetapkan bahawa semua pengembara yang tiba dari luar negara akan diberi digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah.

"Maka dengan itu, pengembara tidak perlu lagi dipakaikan gelang pengawasan biasa (warna merah jambu).

"Namun bagi pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi dan dibenarkan menjalani perintah kuarantin di kediaman, mereka masih akan dipakaikan gelang pengawasan digital," ujarnya.

Pemeriksaan suhu badan di premis yang ditetapkan juga bakal menjadi satu perkara yang tidak diperlukan, tambah Encik Khairy.

Beliau berkata tidak lama lagi, individu hanya perlu menggunakan aplikasi pengesanan kontak MySejahtera untuk mendaftar masuk apabila memasuki premis.

"Kementerian telah bersetuju untuk meniadakan pemeriksaan suhu badan daripada protokol Covid-19.

"Cadangan ini akan dibawa ke mesyuarat mingguan Kuartet Menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi tujuan pengesahan," katanya.

Namun, individu masih perlu menunjukkan sijil vaksinasi mereka sebelum memasuki kedai dan restoran.

"Mengikut protokol MKN, anda masih dikehendaki menunjukkan bahawa anda telah divaksin sepenuhnya apabila ditanya pemilik premis, dan anda boleh tidak diterima masuk.

"Dan pemilik premis juga akan memastikan jarak fizikal dipatuhi dan orang ramai memakai pelitup apabila mereka tidak makan.

"Kementerian juga mengesyorkan agar orang ramai menghidupkan ciri pengesanan Bluetooth MySejahtera, yang amat berguna bagi pengesanan kontak.

"Ia tidak wajib tetapi amat disyorkan. Ciri ini akan memberitahu anda jika anda adalah kontak biasa.

"Ia tidak bermakna anda perlu dikuarantin; anda hanya memantau diri anda jika ada gejala," kata Encik Khairy lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, mengenai garis masa pembukaan semula perjalanan umrah, kementeriannya dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) komited untuk memuktamadkan proses penilaian risiko dan prosedur operasi standard (SOP) perjalanan umrah menjelang pertengahan Februari ini.

"KKM amat berharap semua pemain industri dapat memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan ibadah umrah dapat terus dilaksanakan dengan selamat," kata beliau. - The Star, BHM.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti