Kumpulan bertelagah di Sudan meterai komitmen bantuan kemanusiaan
Kumpulan bertelagah di Sudan meterai komitmen bantuan kemanusiaan
WASHINGTON: Dua kumpulan yang bertelagah di Sudan, memeterai komitmen pada Khamis bagi mengatur pergerakan bantuan kemanusiaan, tetapi rundingan bagi mengadakan gencatan senjata masih lagi belum dicapai, kata seorang pegawai Amerika Syarikat.
Perwakilan tentera Sudan dan kumpulan para tentera, yang bertelagah sejak sebulan lalu, menandatangani persetujuan di bandar Arab Saudi, Jeddah, mengenai satu "deklarasi komitmen untuk melindungi orang awam Sudan", kata seorang pegawai Amerika yang terlibat dalam rundingan tersebut.
Persetujuan itu menyatakan komitmen kedua-dua pihak yang bertelagah, secara umum untuk membenarkan pergerakan bantuan kemanusiaan, pemulihan bekalan elektrik, air dan lain-lain perkhidmatan asas, juga mengundurkan tentera masing-masing dari hospital serta mengendalikan "pengebumian secara terhormat" mereka yang meninggal dunia.
Rundingan juga sedang diadakan untuk mencapai satu huraian sementara yang baru, bagi membolehkan bantuan masuk ke negara itu, dengan satu saranan dibentangkan bagi menghentikan pergaduhan selama 10 hari, kata pegawai Amerika itu, yang enggan memberi pengenalannya.
"Ini bukan gencatan senjata. Ini adalah penegasan tanggungjawab mereka, di bawah undang-undang perikemanusiaan antarabangsa, terutama berhubung layanan terhadap orang awam dan perlunya menyediakan ruang bagi operasi kemanusiaan," kata pegawai itu.
"Kami harapkan dengan berhati-hati, agar kesediaan mereka menandatangani dokumen ini akan memberi ruang untuk membawa bekalan bantuan," kata pegawai wanita itu lagi.
Tetapi beliau berkata kedua-dua pihak masih lagi "jauh daripada mencapai kesepakatan" dalam perbincangan itu.
Beliau menzahirkan harapan agar komitmen kemanusiaan yang diikrarkan itu akan dapat meyakinkan pihak yang menyediakan bekalan bantuan.
Rancangan Makanan Sedunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkata bekalan makanan bernilai jutaan dolar telah dijarah di Khartoum.
Perwakilan peringkat tinggi kedua-dua pihak yang bertelagah itu - ketua tentera Encik Abdel Fattah al-Burhan, dan komander kumpulan separa tentera, Encik Mohamed Hamdan Daglo - telah berunding sejak Sabtu lalu di Jeddah bagi membuat persiapan menjelang rundingan yang akan turut disertai oleh Amerika dan PBB.
Pegawai tertinggi agensi bantuan PBB, Encik Martin Griffiths, telah melakarkan saranan yang meminta kedua-dua pihak yang bertelagah itu menjamin laluan yang selamat bagi pengiriman bekalan bantuan kemanusiaan. - AFP.

