WASHINGTON: Dua kumpulan yang bertelagah di Sudan, memeterai komitmen pada Khamis bagi mengatur pergerakan bantuan kemanusiaan, tetapi rundingan bagi mengadakan gencatan senjata masih lagi belum dicapai, kata seorang pegawai Amerika Syarikat. Perwakilan tentera Sudan dan kumpulan para tentera, yang bertelagah sejak sebulan lalu, menandatangani persetujuan di bandar Arab Saudi, Jeddah, mengenai satu "deklarasi komitmen untuk melindungi orang awam Sudan", kata seorang pegawai Amerika yang terlibat dalam rundingan tersebut. Persetujuan itu menyatakan komitmen kedua-dua pihak yang bertelagah, secara umum untuk membenarkan pergerakan bantuan kemanusiaan, pemulihan bekalan elektrik, air dan lain-lain perkhidmatan asas, juga mengundurkan tentera masing-masing dari hospital serta mengendalikan "pengebumian secara terhormat" mereka yang meninggal dunia. Rundingan juga sedang diadakan untuk mencapai satu huraian sementara yang baru, bagi membolehkan bantuan masuk ke negara itu, dengan satu saranan dibentangkan bagi menghentikan pergaduhan selama 10 hari, kata pegawai Amerika itu, yang enggan memberi pengenalannya. "Ini bukan gencatan senjata. Ini adalah penegasan tanggungjawab mereka, di bawah undang-undang perikemanusiaan antarabangsa, terutama berhubung layanan terhadap orang awam dan perlunya menyediakan ruang bagi operasi kemanusiaan," kata pegawai itu. "Kami harapkan dengan berhati-hati, agar kesediaan mereka menandatangani dokumen ini akan memberi ruang untuk membawa bekalan bantuan," kata pegawai wanita itu lagi. - AFP