PARIS: Kumpulan lobi global industri penerbangan mengecam langkah memperkenalkan ujian Covid-19 dan langkah-langkah lain untuk penumpang yang tiba dari China, ketika perjalanan udara dari negara-negara Asia mulai disambung semula.
Langkah-langkah itu mewakili pengembalian semula langkah-langkah yang terbukti tidak berkesan dalam membendung wabak itu sejak tiga tahun lalu, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata) dalam satu kenyataan semalam.
Ketua Pengarah Iata, Encik Willie Walsh, berkata sekatan perjalanan telah terbukti melambatkan kemuncak gelombang baru koronavirus hanya dalam beberapa hari, bukannya menghentikannya, sementara pada masa yang sama menjejas sambungan antarabangsa, merosakkan ekonomi dan memusnahkan pekerjaan.
"Pemerintah mesti mendasarkan keputusan mereka pada fakta sains dan bukannya sains politik," kata Encik Walsh.
Kesatuan Eropah (EU) sedang bergerak ke arah pendekatan terhadap wabak yang berleluasa di China yang mungkin termasuk memerlukan pelitup muka dan keperluan ujian prapenerbangan pada penerbangan dari negara itu.
Draf pendapat yang dibuat Selasa lepas termasuk cadangan menutup dan meningkatkan pemantauan air sisa, dan mencadangkan perbincangan berkenaan ujian Covid-19, dengan majoriti besar negara menyokong ujian praberlepas.
Walaupun pembukaan semula China yang pesat tidak diduga, namun varian Omicron bagi Covid-19 yang terus berleluasa di sana boleh menimbulkan jangkaan kebangkitan penularan koronavirus di Asia.
Disebabkan itu, permintaan bagi khidmat penerbangan jarak jauh yang lebih tinggi, sekatan sempadan termasuk ujian semasa ketibaan dijangka mengenjotkan tempahan penerbangan.
Iata, yang mewakili syarikat penerbangan yang mengendalikan 83 peratus trafik udara global, tidak menjangkakan Beijing melonggarkan dasar pintu tertutupnya sehingga separuh kedua 2023, dan atas dasar itu meramalkan bahawa hanya syarikat penerbangan Amerika Utara akan mencatatkan keuntungan besar tahun ini, dengan yang lain hanya memperoleh keuntungan kecil. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg