MUMBAI: Ketua-ketua kumpulan Islam terkenal dan masjid-masjid di India telah menggesa kepada pengikut mereka untuk menggantung rancangan mengadakan tunjuk perasaan terhadap komen yang dibuat dua anggota parti pemerintah nasionalis Perdana Menteri Narendra Modi tentang Nabi Muhammad.

Mesej untuk mengelak perhimpunan besar diedarkan selepas demonstrasi bertukar ganas minggu lalu, menyebabkan dua remaja Islam maut dan lebih 30 orang - termasuk polis - cedera.

"Adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk berdiri teguh bersama apabila seseorang memperkecilkan Islam, tetapi pada masa yang sama, adalah penting untuk mengekalkan keamanan," kata Encik Malik Aslam, ahli kanan Jamaat-e-Islami Hind, sebuah pertubuhan Muslim yang beroperasi di beberapa negeri India.

Awal bulan ini, dua anggota kanan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi membuat kenyataan yang menyinggung perasaan umat Islam.

Seorang jurucakap parti membuat komen yang menyinggung perasaan itu dalam debat televisyen sementara jurucakap parti melakukannya di media sosial.

Parti itu menggantung kedua-dua mereka dan berkata ia mengecam sebarang penghinaan terhadap mana-mana agama.

Polis juga telah memfailkan kes terhadap dua petugas parti itu, tetapi ia tidak menghentikan kemarahan umat Islam yang telah mengadakan tunjuk perasaan.

Polis menahan sekurang-kurangnya 400 orang yang disyaki perusuh semasa pergolakan di beberapa negeri, dan perintah berkurung telah dikenakan, dengan perkhidmatan Internet digantung di beberapa tempat.

Namun, Encik Modi masih berdiam diri mengenai kenyataan anti-Islam yang mencetuskan protes itu walaupun kecaman semakin meningkat di luar negara.

Negara-negara termasuk Qatar, Arab Saudi, UAE, Oman dan Iran - rakan perdagangan penting untuk India - telah membuat bantahan diplomatik. - Reuters