Subuh
5:35
Syuruk
6:51
Zuhur
12:55
Asar
4:03
Maghrib
6:57
Isyak
8:06
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

POLITIK INDONESIA

Kumpulan sukarelawan presiden Indonesia akan sokong calon teruskan legasi Jokowi

Jun 28, 2022 | 05:30 AM

JAKARTA: Sebuah kumpulan sukarelawan seramai tujuh juta anggota, Projo, yang menyokong Presiden Joko 'Jokowi' Widodo, telah menamatkan spekulasi bahawa ia mahu menjadi sebuah parti politik - namun menyatakan ia akan menyokong calon yang akan meneruskan legasi Presiden Jokowi apabila penggalnya berakhir pada 2024.

Dalam satu wawancara dengan akhbar The Straits Times yang disiarkan semalam, pengerusi Projo, Encik Budi Arie Setiadi, berkata sedang kumpulan itu mempunyai sumber mencukupi untuk membentuk sebuah parti, ia bagaimanapun dapat memberi tumpuan lebih baik terhadap "pembangunan nusa dan agenda rakyat" sekiranya ia tidak perlu memikirkan kekhuatiran untuk kekal berkuasa sebagai satu parti politik.

"Kami telah bersetuju dengan Pak Jokowi untuk tidak merubah haluan setiap kali seorang presiden baru tampil.

"Kami mahu usaha terus mampan agar apa yang beliau lakukan sekarang akan diteruskan (penggantinya)," kata Encik Budi, yang juga Timbalan Menteri Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi Indonesia, yang menyebut nama Encik Widodo dengan panggilan mesranya.

Antara keutamaan Presiden Widodo yang belum selesai adalah projek prasarana utama, yang terkekang disebabkan peruntukan semula belanjawan untuk keperluan ehwal masyarakat semasa pandemik Covid19, dan pembangunan ibu kota baru Indonesia di Kalimantan Timur.

Di Kongres Projo di Magelang, Jawa Tengah, pada 21 Mei lalu, presiden berusia 61 tahun itu, yang juga Ketua Lembaga Penasihat Projo, memberi bayangan menyokong Gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo, 53 tahun, untuk pilihan raya presiden pada 2024.

"Dalam politik, tak boleh terburu-buru, meskipun seseorang yang mungkin kita sokong (pada 2024) mungkin berada di sini," katanya kepada khalayak di acara yang dihadiri Encik Ganjar.

Pilihannya bagaimanapun bertembung dengan pendirian parti terbesar - Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P) - yang mana Encik Widodo, Encik Ganjar dan Encik Budi adalah kader parti.

'Kader' adalah golongan individu dalam kumpulan yang dipilih dan dilatih khusus sebagai anggota kanan parti atau calon untuk pemerintahan atau pergerakan politik.

Semasa pembukaan mesyuarat jawatankuasa kerja parti peringkat kebangsaan pada 21 Jun lalu, Pengerusi PDI-P Megawati Soekarnoputri menekankan bahawa pengesahan calon presiden adalah pilihannya.

"Sesiapa yang olah gerak akan ditendang keluar. Tidak harus ada sesiapa dalam PDI-P yang meletakkan telur mereka dalam dua atau tiga bakul, membuat olah gerak," katanya.

Sebagai parti pemerintah, PDI-P yang meraih 128 kerusi atau 22 peratus kerusi parlimen pada 2019, adalah satu-satunya parti yang boleh menamakan calon pasangan presiden dan naib presiden untuk pilihan raya akan datang tanpa perlu berunding dengan parti-parti lain.

Dipercayai, PDI-P akan menyokong pencalonan anak perempuan Cik Megawati, juga Speaker Parlimen, Puan Maharani, 48 tahun, yang daya sokongannya masih jauh ketinggalan di belakang Encik Ganjar.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Perbincangan dan Penyelidikan Tanggapan Awam Indonesia, Dr Kunto Adi Wibowo, berkata kenyataan Cik Megawati memberi isyarat kepada sukarelawan Projo untuk tidak memaksa parti itu menyokong Encik Ganjar.

"Memang boleh untuk PDI-P mencalonkan Encik Ganjar, tetapi peluangnya tipis, dan ia bergantung kepada sejauh mana Puan boleh mendorong orang ramai untuk memberi sokongan kepadanya," kata beliau kepada ST.

Pensyarah di Fakulti Perhubungan Universiti Padjadjaran itu memberi satu lagi gambaran di mana Encik Ganjar berhenti sebagai anggota PDI-P dan menyertai sesebuah parti lain, yang membentuk perikatan dengan parti-parti lain.

"Dalam kes ini, Projo boleh terus mengikuti di mana Encik Ganjar bersandar," katanya.


"Kami telah bersetuju dengan Pak Jokowi untuk tidak merubah haluan setiap kali seorang presiden baru tampil.
Kami mahu usaha terus mampan agar apa yang beliau lakukan sekarang akan diteruskan (penggantinya)."
- Encik Budi Arie Setiadi, Pengerusi Projo (kumpulan sukarelawan seramai tujuh juta anggota), yang juga Timbalan Menteri Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi Indonesia.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3