KUNJUNGAN Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris ke Singapura dan Vietnam dari 22 hingga 26 Ogos ini menunjukkan usaha kuasa utama dunia itu untuk merancakkan penglibatannya di rantau ini, kata pemerhati.
Kededua negara Asia Tenggara itu adalah negara yang mesra dengan Amerika dan Cik Harris tidak akan disambut dengan sikap permusuhan dan adalah mudah untuk menunjukkan hubungan mesra itu, ujar mereka.
Malah baru-baru ini, Setiausaha Pertahanan Amerika Lloyd Austin mengadakan lawatan ke Singapura - pegawai peringkat Kabinet pertama dari pentadbiran Presiden Amerika, Encik Joe Biden mengunjungi Singapura - dan beliau menekankan kerjasama penting Amerika dengan sekutu di rantau ini.
Bercakap secara maya di Forum Keselamatan Aspen pada 3 Ogos, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata:
"Kunjungan peringkat tinggi seperti ini amat dinilai tinggi. Ia menunjukkan Amerika melabur sumber dan tenaga dalam rantau ini dan menunjukkan ia mempunyai pertaruhan dan kepentingan penting di sini untuk dilindungi dan dimajukan."
Tumpuan Encik Biden dalam enam bulan pertama pentadbirannya adalah untuk memperkukuh persekutuan dengan Jepun, Korea Selatan dan Eropah.
Ini boleh dilihat dengan beberapa kunjungan ke luar negeri yang dilakukan oleh Encik Biden pada Jun lalu - untuk menghadiri pertemuan Kumpulan Tujuh Negara (G-7) di Britain, sidang puncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Belgium dan untuk bertemu Presiden Russia Vladimir Putin di sebuah sidang puncak di Geneva, Switzerland.
Seorang diplomat yang ditukil The Straits Times berkata pentadbiran Biden berbuat demikian kerana G-7 dan Nato adalah hubungan tradisi yang perlu ditenangkan, selepas apa yang berlaku semasa pentadbiran sebelumnya.
"Asia Tenggara pula adalah di mana peluang ada dan inilah tempatnya di mana mereka sedang memberi lebih banyak perhatian dan inisiatif," kata diplomat itu, yang enggan namanya disiarkan.
Bagi Vietnam pula, ini adalah kali pertama seorang naib presiden Amerika akan ke sana, sedang ia menguruskan hubungan yang kadangkala tegang dengan China berhubung Laut China Selatan.
Cik Harris dijangka akan menggariskan lagi pendirian Washington mengenai Laut China Selatan.
"Kami tidak mahu melihat sebarang negara menguasai wilayah itu atau mengambil kesempatan keadaan di mana ia berkuasa untuk menjejas kedaulatan negara lain," kata seorang pegawai Rumah Putih, bercakap kepada media.
Selain itu, Cik Harris juga dijangka memberi tumpuan kepada krisis Covid-19 dan vaksin semasa kunjungannya ke rantau ini, selain tentang perdagangan dan pelaburan digital.
Namun, felo kanan di Majlis Atlantik di Washington, Encik Robert Manning berkata jangkaan tidak harus diletak terlalu tinggi, berhubung kunjungan itu.
Menurut beliau, pentadbiran Biden masih mencari cara lebih baik untuk berurusan dengan Asean dan kunjungan ini dijangka untuk memperkukuh pendiriannya mengenai Indo-Pasifik yang berdasarkan sistem peraturan dan kebebasan bergerak, dan bukan untuk mengumumkan sebarang dasar atau inisiatif baru.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg