Kurang bekalan oksigen di hospital punca angka kematian Covid-19 lonjak di India
Kurang bekalan oksigen di hospital punca angka kematian Covid-19 lonjak di India

NEW DELHI: Hospital-Hospital di India berkata, ramai pesakitnya meninggal dunia kerana kekurangan bekalan oksigen menyebabkan jumlah kes jangkitan Covid-19 dan kematian terus meningkat.
Kadar kematian dan jangkitan harian Covid-19 di India catat rekod tertinggi semalam dengan ribuan pesakit berada di ambang maut di serata negara itu.
Ia merekodkan hampir sejuta kes jangkitan dalam tempoh tersebut dengan 346,786 kes dalam tempoh semalaman.
India melaporkan 2,624 lagi kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah korban keseluruhan mencecah 190,000 kes - menjadikan jumlah keseluruhan 16.5 juta kes dan menjadikan India negara kedua paling teruk terjejas koronavirus selepas Amerika Syarikat.
Di Jaipur Golden Hospital, 20 pesakit dilaporkan terkorban kerana kekurangan bekalan oksigen.
Dalam keadaan terkini, hospital-hospital di Delhi memberi amaran bahawa mereka berada di hujung tanduk.
Di Holy Family Hospital, unit rawatan rapi sudah pun sesak dan tidak ada ruang untuk katil lagi.
"Hampir setiap hospital dalam keadaan terdesak. Jika oksigen habis, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan ke atas pesakit.
"Mereka akan mati. Dalam beberapa minit, mereka akan mati. Anda dapat melihat pesakit-pesakit ini memerlukan ventilator, mereka memerlukan oksigen aliran tinggi.
"Sekiranya oksigen berhenti, kebanyakan mereka akan mati," kata Dr Sumit Ray kepada BBC.
Pemerintah pula telah menggunakan kereta api dan tentera udara untuk membawa bekalan oksigen di kawasan yang terjejas teruk.
Peningkatan mendadak kes Covid-19 itu dikaitkan dengan kemunculan varian baru yang mudah merebak ketika India mengadakan pilihan raya baru-baru ini serta upacara keagamaan yang dihadiri jutaan orang.
Dalam pada itu kereta api 'ekspres oksigen' yang membawa 30,000 liter bekalan ke hospital tiba di Lucknow, Uttar Pradesh.
Lucknow adalah antara bandar paling teruk dilanda wabak, dengan hospital dan pusat pembakaran mayat dibanjiri pesakit serta mayat.
Dalam pada itu, Tentera Udara India juga dikerah untuk mengangkut tangki oksigen dan bekalan lain ke seluruh negara.
Sementara di New Delhi, pemerintah mula menyiapkan stok oksigen untuk mempercepat bekalan ke hospital. - Agensi berita.

