Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

HUKUMAN PENJARA ROSMAH KERANA KESALAHAN RASUAH

Kurang simpati terhadap Rosmah selepas laporan gaya hidup mewah

Sep 03, 2022 | 05:30 AM



DATIN Seri Rosmah Mansor menangis di mahkamah kelmarin selepas disabitkan dengan kesalahan rasuah, sedang beliau memohon belas ihsan mahkamah atas nasibnya sebagai seorang isteri yang terpaksa memimpin keluarganya.



Ini selepas suaminya, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dihantar ke penjara.



Tetapi air matanya tidak mendapat banyak simpati dalam kalangan rakyat Malaysia biasa.



Butiran tentang gaya hidup mewahnya telah didokumentasikan dalam media selama bertahun-tahun, dan digunakan pengkritik untuk menuduh beliau dan Datuk Najib sebagai tidak prihatin dengan nasib rakyat biasa.



Sejurus selepas Datuk Najib tewas dalam pilihan raya 2018 dan kehilangan jawatan perdana menteri, satu serbuan polis ke atas hartanah yang dikaitkan dengan keluarganya menghasilkan barangan mewah bernilai RM1.1 bilion ($342.7 juta).



Antaranya ialah 12,000 barang kemas, lebih 500 beg tangan mewah dan 423 jam tangan.



Termasuk dalam hasil serbuan itu ialah beg Hermes Birkin yang ditempah khas bernilai RM1.6 juta.



Datuk Najib, semasa perbicaraan pertama daripada lima perbicaraannya berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mengakui membelanjakan lebih RM466,000 bagi jam tangan Chanel sebagai hadiah hari jadi buat Datin Rosmah semasa pasangan itu berada di Honolulu, Hawaii, pada 2014.



Mahkamah akhirnya mensabitkan kesalahannya menyalah guna lebih RM42 juta dana awam yang terdapat dalam akaun bank peribadinya - yang digunakan untuk membayar jam tangan itu.



Malah percubaan Datin Rosmah mahu menunjukkan rasa prihatin terhadap rakyat juga tidak menjadi.



Apabila kerajaan Datuk Najib melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 2015, Datin Rosmah bercakap tentang bagaimana beliau juga terpaksa menghadapi kenaikan harga, secara tidak sengaja mendedahkan beliau mengeluarkan belanja RM500 untuk baju kurung yang disesuaikan, dan RM1,200 untuk mendandan rambutnya.



Purata pendapatan minimum bulanan rakyat pada masa itu ialah RM900.



Sementara itu, penyiasat Amerika Syarikat yang menyiasat skandal 1MDB berkata AS$27.3 juta ($38.2 juta) daripada dana yang digelapkan itu digunakan untuk membeli rantai berlian merah jambu yang jarang ditemui buat Datin Rosmah - satu dakwaan yang dinafikannya.



Datin Rosmah dilahirkan bukan dalam keluarga mewah. Ibu bapanya merupakan guru sekolah di Negeri Sembilan.



Beliau mempunyai dua anak daripada perkahwinan pertamanya, sebelum berkahwin dengan Datuk Najib pada 1987 - dan mempunyai dua anak dengannya.



Anak sulungnya, Encik Riza Aziz, adalah penerbit filem Hollywood yang didakwa membiayai beberapa filem utama menggunakan dana berasal daripada 1MDB. Encik Riza telah disaman 1MDB berhubung dana itu.



Datin Rosmah menarik perhatian ramai sejurus selepas Datuk Najib menyandang jawatan perdana menteri pada 2009, apabila satu unit khas ditubuhkan di bawah pejabat Perdana Menteri yang dipanggil FLOM, akronim buat Wanita Pertama Malaysia.



Isteri perdana menteri Malaysia sebelum ini tidak pernah dirujuk sebagai wanita pertama.



Kelmarin di mahkamah, Datin Rosmah sekali lagi merujuk dirinya sebagai bekas wanita pertama, dan mengulangi sumbangannya sebagai penaung yayasan pembangunan kanak-kanak Permata.



Pertubuhan itu menerima lebih RM50 juta dana awam pada 2018, dan telah mendapat kritikan kerana membiayai salah satu lawatan Datin Rosmah ke Britain. - ST.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >