Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ladang buaya Batam diminta tutup setelah lebih 100 buaya terlepas

Feb 12, 2025 | 11:50 AM
Lebih 100 buaya terlepas dari ladang di Batam pada 13 Januari.
Lebih 100 buaya terlepas dari ladang di Batam pada 13 Januari. - Foto fail

BATAM: Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Provinsi Riau (DPRD) telah menyeru bagi penutupan ladang buaya di Pulau Bulan, Batam.

Ini setelah lebih 100 reptilia itu terlepas pada Januari, mencetuskan keprihatinan tentang serangan buaya yang boleh berlaku terhadap penduduk tempatan dan pelancong.

Speaker DPRD, Encik Iman Sutiawan, berkata selain membahayakan orang awam, ladang buaya yang diurus PT Perkasa Jagat Karunia, tidak pernah menyumbang cukai kepada daerah itu sepanjang tempoh ia beroperasi selama 36 tahun.

“Kami mahu ladang itu ditutup,” katanya kepada The Jakarta Post pada 3 Februari.

Encik Iman menambah, menurut pihak pengurusan, hanya satu daripada buaya yang terlepas belum ditemui.

Sebanyak 38 buaya pula telah ditangkap oleh penguasa Batam di pelbagai bahagian pulau berhampiran – tiga ditemui mati dan 66 yang lain ditangkap semula oleh ladang tersebut kerana reptilia itu dilaporkan kekal di Pulau Bulan.

“Namun, ini hanya dakwaan pihak pengurusan. Terus terang, kami tidak mempercayainya.

“Kami ingin syarikat itu terus mencari baki buaya yang lain dan mengesahkan jumlah keseluruhan reptilia yang terlepas dan ditangkap,” katanya.

Encik Iman selanjutnya menjelaskan bahawa anggota majlis tempatan telah melawat ladang itu baru-baru ini untuk menilai keadaannya setelah buaya terlepas dan meminta pihak pengurusan bertanggungjawab sekiranya terdapat serangan buaya pada masa akan datang.

Buaya di ladang itu terlepas pada 13 Januari, setelah hujan lebat berhari-hari menyebabkan beberapa bahagian pagar mengelilingi kolam pembiakan itu roboh.

Menurut pihak pengurusan, ladang itu menempatkan kira-kira 800 buaya air masin.

Buaya ini sebelumnya digunakan bagi menghasilkan pelbagai barangan kulit – seperti beg, dompet dan tali pinggang.

Namun, PT Perkasa Jagat Karunia dilaporkan telah berhenti menghasilkan produk kulit tersebut tujuh tahun lalu (2018) disebabkan masalah kewangan.

Kini, buaya itu digunakan terutamanya oleh sekutu ladang itu, PT Indo Tirta Suaka – yang memiliki ladang babi sebanyak 240,000 ekor untuk dieksport ke Singapura.

Buaya itu digunakan untuk menghapuskan babi yang sudah mati.

Buaya terbesar yang ditangkap oleh pasukan bertindak itu seberat lebih 1,000 kilogram.

Ketua Agensi Pelancongan Batam, Ardiwinata, telah mengeluarkan amaran bagi pelancong agar mengelak pantai dan laluan air menyusuli kejadian tersebut.

Datuk Bandar Batam, Encik Muhammad Rudi meluahkan keprihatinan kejadian itu boleh menjejas industri dan pelancongan daerah tersebut secara negatif.

Pulau Bulan, yang dikenali kerana pantainya, serta peranannya sebagai hab perindustrian dan zon perdagangan bebas, menarik kira-kira sejuta pelancong setiap tahun.

Kejadian itu juga telah meningkatkan kecemasan di Singapura, memandangkan Pulau Bulan terletak kira-kira 30 kilometer dari pulau riadah luar pesisir Singapura, Sentosa. – Agensi berita.

“Kami mahu ladang itu ditutup...Kami ingin syarikat itu terus mencari baki buaya yang lain dan mengesahkan jumlah keseluruhan reptilia yang terlepas dan ditangkap.”
Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Provinsi Riau (DPRD), Encik Iman Sutiawan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg