NEW DELHI: Penularan wabak koronavirus tidak mematahkan semangat seseorang untuk berfikir secara kreatif, termasuk dalam menamakan anak mereka pada masa dunia semakin dijerut kebimbangan pandemik yang menunjukkan tanda reda.
Satu pasangan telah menamakan anak mereka 'Lockdown' - sejajar dengan perintah berkurung yang dilaksanakan pemerintah India sekarang, lapor laman berita, The Indian Express, semalam.
Pasangan yang tinggal di Sheopur, Madhya Oradesh, tengah India, telah menamakan anak lelaki mereka dengan nama itu, sebagai "satu semangat bersama dengan rakyat" untuk memerangi koronavirus, sebagai menuruti rayuan Perdana Menteri Narendra Modi.
Bayi lelaki hasil pasangan Encik Raghunath Mali dan isteri, Cik Manju, 24 tahun, merupakan penduduk kampung Bachheri, di daerah Sheopur dan melahirkan anak mereka di sebuah hospital swasta kelmarin (6 April).
Ditanya sebab menamakan anak mereka sebagai 'Lockdown', Mali, seorang petani berkata, ia akan sentiasa mengingatkan mereka tentang tempoh sukar yang dihadapinya akibat Covid-19 sekarang.
"Isteri saya melahirkan anak lelaki kelmarin. Apabila ingin meletakkan nama di surat beranak, saya dan isteri memutuskan untuk menamakannya 'Lockdown'," kata Mali.
Dalam satu perkembangan serupa di negeri Chhattisgarh, tengah India, satu pasangan pula telah menamakan anak kembar yang baru dilahirkan mereka sebagai 'Corona' dan 'Covid', lapor laman berita, India Today, minggu lalu.
Sedang anak itu menimbulkan rasa takut dan kebimbangan di kalangan orang ramai, pasangan yang menetap di ibu kota negeri, Raipur, menyifatkan nama itu menggambarkan kejayaan mengharungi kesukaran. Bayi kembar, seorang lelaki dan seorang perempuan itu, dilahirkan semasa India melaksanakan perintah berkurung serata negara, di tengah malam antara 26 dan 27 Mac, di hospital pemerintah di Raipur.
Bagaimanapun, pasangan itu berkata mereka mungkin menukar nama kedua-dua anak mereka, yang ditukil agensi berita tempatan Press Trust of India (PTI).
"Saya amat bertuah kerana menerima anak kembar - seorang lelaki dan seorang perempuan - pada awal 27 Mac. Kami namakan mereka Covid (lelaki) dan Corona (perempuan) buat masa ini," kata Cik Preeti Verma, ibu berusia 27 tahun itu.
"Kelahiran berlaku selepas menghadapi beberapa kesukaran dan kemudiannya, suami saya dan saya sendiri ingin menjadikan hari ini satu kenangan. Sememangnya virus ini merbahaya dan mengancam nyawa tetapi penularan ini membuat orang ramai beri tumpuan kepada sanitasi, kebersihan, penjagaan diri dan memupuk amalan baik. Oleh kerana itu, kami memikirkan nama-nama ini," katanya, dengan mengongsi alasan membuat keputusan yang luar biasa dalam menamakan anak mereka.
"Apabila kakitangan hospital mula memanggil nama bayi sebagai Corona dan Covid, kami akhirnya memutuskan untuk menamakan mereka mengikut pandemik yang berlaku," tambahnya lagi.
Pasangan itu, yang berasal dari Uttar Pradesh, tinggal di rumah sewa di Purani Basti, di Raipur.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg