Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

'Laksana semula GST, perkenal cukai baru tidak sesuai bagi Malaysia'

Sep 4, 2021 | 5:30 AM
TENGKU ZAFRUL: Apa yang penting ketika ini ialah pulihkan semula ekonomi Malaysia. - Foto THE STAR
TENGKU ZAFRUL: Apa yang penting ketika ini ialah pulihkan semula ekonomi Malaysia. - Foto THE STAR -

PUTRAJAYA: Pelaksanaan cukai baru termasuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilihat kurang sesuai buat masa ini dan tumpuan kerajaan kini adalah untuk memulihkan ekonomi, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, apa yang penting ketika ini adalah memulihkan semula ekonomi dan pengenalan cukai baru akan menjejaskan usaha pemulihan ekonomi.

"Kami (Kementerian Kewangan) telah membentuk jawatankuasa untuk meninjau cara meningkatkan hasil dan meninjau langkah untuk mengurangkan ketirisan hasil," katanya pada sidang media semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula GST dan cukai baru untuk meningkatkan hasil kerajaan.

Bagi 2021, sasaran kutipan hasil cukai adalah berjumlah RM162.1 bilion ($217.6 bilion) yang mana 10.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang merangkumi kutipan cukai langsung sebanyak RM120 bilion dan cukai tidak langsung sebanyak RM42.1 bilion.

Namun, sehingga Julai 2021, kutipan cukai langsung adalah sebanyak RM67.4 bilion atau 56.2 peratus daripada sasaran, manakala cukai tidak langsung mencatat kutipan sebanyak RM24.8 bilion atau 59 peratus daripada sasaran.

Prestasi kutipan hasil bagi separuh pertama 2021 adalah rendah berbanding anggaran dan kutipan seterusnya dijangka berkurangan ekoran pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejas aktiviti perniagaan dan pendapatan peniaga, selain menyebabkan pertambahan mereka yang kehilangan pendapatan.

Mengulas sama ada kerajaan akan mengurangkan cukai korporat, Tengku Zafrul berkata, buat masa ini kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, apa yang penting bagi kerajaan adalah memperluaskan asas cukai sebelum boleh mengurangkan cukai korporat.

Beliau berkata demikian dalam program temu bual dengan, The Straits Times bertajuk "Beyond the Pandemic: Malaysia's Way Forward," secara maya, malam kelmarin.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata, bagaimanapun, memandangkan trend global lebih berpihak kepada penurunan cukai korporat, Malaysia pada masa depan berkemungkinan perlu menyemak semula struktur korporat agar selaras dengan pertumbuhan ekonomi lebih meluas dalam jangka pertengahan, katanya.

Cukai korporat di Malaysia ketika ini ialah pada 24 peratus dan ia adalah antara kadar tertinggi di Asean berbanding Singapura dengan kadar terendah pada 17 peratus. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg