WASHINGTON: Kecewa pandangannya diabaikan, Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, memilih cara lebih dramatik, untuk menjelaskan pendiriannya kepada pemimpin Israel – dengan mengarahkan penghantaran bom dihentikan.
Keputusan Encik Biden untuk menghentikan sementara penghantaran 3,500 bom ke Israel, bertujuan untuk menyampaikan isyarat jelas, bahawa kesabarannya mempunyai batas.
Sambil menegaskan sokongannya terhadap negara Yahudi itu kekal “kukuh”, Encik Biden buat kali pertama sejak perang Gaza meletus pada Oktober, memilih menggunakan kuasanya sebagai ketua pembekal senjata Israel, untuk menunjukkan ketidakpuasan hatinya.
Penangguhan pengiriman bom menandakan titik perubahan yang ketara dalam hubungan 76 tahun antara Amerika Syarikat dengan Israel.
Dari segi sejarah, hubungan itu adalah suatu perkongsian keselamatan paling rapat di dunia dan perbalahan kecil tidak semestinya membawa perpecahan.
Pentadbiran Presiden Biden masih membenarkan kebanyakan senjata lain dihantar ke Israel, dan sebenarnya pegawai menekankan bahawa tiada keputusan muktamad yang telah dibuat mengenai pengiriman bom.
Encik Biden berharap, penangguhan itu akan mendorong Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menghentikan pencerobohan ke atas Rafah, bandar selatan Gaza, tempat lebih sejuta rakyat Palestin berlindung di situ.
Presiden Biden membantah operasi seumpama itu, kerana khuatir korban awam akan melonjak disebabkan bekalan bom oleh Amerika.
Beliau berkata pada 8 Mei, beliau juga akan menyekat penghantaran peluru artileri yang boleh digunakan untuk membedil kawasan kejiranan bandar Rafah.
“Saya telah menyatakan dengan jelas kepada Bibi (Encik Netanyahu) dan Kabinet perangnya, mereka tidak akan mendapat sokongan kami, jika sebenarnya mereka pergi ke pusat-pusat penduduk ini,” kata Encik Biden dalam temu bual dengan saluran berita Amerika, CNN pada 8 Mei.
“Kami tidak menjauhi soal keselamatan Israel; kami menjauhi kemampuan Israel untuk berperang di kawasan itu,” ujarnya.
Beliau akui, dengan cara yang jarang dilakukannya, bahawa bom Amerika telah membunuh ramai rakyat Palestin yang tidak bersalah.
“Orang awam telah terbunuh di Gaza, akibat bekalan bom tersebut dan juga dengan cara lain yang mereka lakukan untuk menyasarkan pusat penduduk,” kata Encik Biden.
Rancangan Israel untuk menyerbu Rafah, telah menjadi punca pergeseran sengit dengan pentadbiran Encik Biden selama berbulan-bulan.
Walaupun Amerika menentang operasi sedemikian, Israel mengekalkan bahawa mereka perlu pergi ke Rafah, untuk menyelesaikan operasi memusnahkan Hamas, yang membunuh lebih 1,400 orang Israel, dalam serangannya pada 7 Oktober.
Pertikaian itu telah memuncak dalam beberapa hari kebelakangan ini, apabila Encik Netanyahu dan Kabinet perangnya kelihatan hampir dengan keputusan untuk menyerang Rafah walaupun Amerika membantahnya.
Pegawai pentadbiran Amerika berkata, mereka telah mula mengkaji semula soal pembekalan senjata pada April, yang boleh digunakan dalam operasi di Rafah itu.
Encik Biden telah menandatangani arahan menahan kiriman bom, baru-baru ini.
“Keputusan itu bermakna, Encik Biden telah memutuskan untuk menggunakan satu-satunya bentuk kelebihan sebenar beliau ke atas Bibi – menahan kiriman senjata,” kata Pengerusi Kumpulan Eurasia, yang baru pulang dari kunjungan ke Timur Tengah, Encik Cliff Kupchan.
“Ia adalah titik rendah dalam hubungan Amerika-Israel, kerana ia mula meletakkan keselamatan Israel dalam keadaan serba salah.
“(Encik) Biden tidak mempunyai pilihan. Peperangan adalah hambatan pada kempen pilihan rayanya, melibat perpaduan Parti Demokrat dan kedudukan Amerika di dunia.”
Pentadbiran Amerika berharap, penangguhan itu akan menghantar mesej yang tidak diumumkan secara terbuka pada mulanya, tetapi Israel membocorkannya.
Pada hari-hari sejak keputusan itu, Israel mengarahkan pemindahan 110,000 orang awam di Rafah, melakukan serangan udara terhadap sasaran di pinggir bandar, menghantar kereta kebal dan merampas kawasan lintasan dengan Mesir.
Walaupun langkah itu disifatkan sebagai terhad dan bukan permulaan serangan yang dijanjikan, tindakan itu meresahkan Rumah Putih.
Sama ada perjanjian gencatan senjata akan menjadi kenyataan, masih tidak pasti.
Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA), Encik William J. Burns, yang terlibat secara mendalam dalam rundingan gencatan senjata itu, bertemu pada 8 Mei dengan Encik Netanyahu di Baitulmakdis, sedang para pegawai lain berunding di Kahirah.
Penganalisis menyatakan, persetujuan perlu dimeterai demi memeliharan hubungan baik Amerika-Israel dan mengelakkan perpecahan antara kededua negara itu. – Agensi berita.
“
Saya telah menyatakan dengan jelas kepada Bibi (Encik Netanyahu) dan Kabinet perangnya, mereka tidak akan mendapat sokongan kami, jika sebenarnya mereka pergi ke pusat-pusat penduduk ini... Orang awam telah terbunuh di Gaza, akibat bekalan bom tersebut dan juga dengan cara lain yang mereka lakukan untuk menyasarkan pusat penduduk.“
Ia adalah titik rendah dalam hubungan Amerika-Israel, kerana ia mula meletakkan keselamatan Israel dalam keadaan serba salah. (Encik) Biden tidak mempunyai pilihan. Peperangan adalah hambatan pada kempen pilihan rayanya, melibat perpaduan Parti Demokrat dan kedudukan Amerika di dunia.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg