MASALAH 'lompat katak' antara parti politik yang menyebabkan kerajaan negeri Melaka tumbang dua kali dalam masa kurang dua tahun diharapkan dapat dielakkan apabila Barisan Nasional (BN) mengumumkan satu langkah kontroversial untuk kesemua calon yang mewakilinya.
Kesemua 28 calon BN untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diwajibkan tandatangani akuan bersumpah atau Statutory Declaration untuk menghalang mereka daripada berpaling tadah.
Langkah yang pertama kali diperkenalkan itu adalah untuk mengelakkan kerajaan negeri ditumbangkan sekali lagi oleh Ahli Dewan Undangan (Adun) yang melompat parti.
Sebelum ini, sudah dua kali kerajaan Melaka bertukar tangan angkara Adun yang mengkhianati parti sendiri.
Kali pertama pada 2 Mac tahun lalu melibatkan Adun Parti keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Yang kedua pada 4 Oktober lalu, ternyata lebih parah kerana ia dirancang oleh dua orang Adun Umno sendiri yang memerintah negeri.
Isu Adun lompat parti menjadi perdebatan hangat sehari sebelum hari penamaan calon, menyebabkan Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membatalkan rancangan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
"Muda menolak 'politik katak' yang tidak bermaruah dan berprinsip yang akhirnya menyebabkan rakyat menderita dan membazirkan RM42 juta ($13.6 juta) untuk mengadakan pilihan raya ini dalam keadaan pandemik," ujar Syed Saddiq dalam satu muat naik di Facebook.
Tindakan Syed Saddiq itu dibuat ekoran keputusan PH untuk menerima dua Adun Umno yang menjadi punca kemelut politik Melaka.
Bekas Menteri Besar Datuk Idris Haron diterima menyertai PKR) sementara Datuk Nor Azman Hassan akan bersama Parti Amanah Negara (Amanah).
"Kita perlu mengambil satu pendirian sama ada untuk terus menolak mereka atau memberi mereka ruang dengan syarat mereka menerima prinsip utama kami, kepelbagaian kami dan prinsip pemerintahan yang telus," kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu sidang media.
Sebelum ini PH telah menolak hasrat bekas Adun Parti Tindakan Demokratik (DAP) Datuk Noorhizam Hasaan Baktee untuk kembali ke pangkuan mereka.
Seorang lagi Adun yang terlibat dalam kemelut itu ialah Datuk Noor Effandi Ahmad bekas anggota Parti Pribumi Bersatu.
Mereka difahamkan akan bertanding sebagai calon bebas.
Sementara itu, suasana di Bandar Hilir Melaka kelihatan tenang tanpa kain rentang atau sepanduk parti-parti politik yang akan bertanding.
Tetapi di beberapa kawasan perkampungan di luar bandar suasana berbeza,
Di sebuah deretan rumah yang kami temui, sepanduk Perikatan Nasional (PN), BN dan PH dipasang bersebelahan rumah jiran.
PN menggunakan poster mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai strategi berkempen dengan slogan #MelakaSayangAbah.
Sewaktu menjadi Perdana Menteri sebelum ini, panggilan 'Abah Din' pernah menjadi viral di kalangan para penyokong beliau.
Seperti yang dijangkakan kesemua 28 kerusi Adun akan ditandingi oleh BN, PN dan PH.
Ini bermakna persaingan sengit tiga penjuru di semua kawasan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon PRN Melaka manakala proses membuang undi pada 20 November.
"Muda menolak 'politik katak' yang tidak bermaruah dan berprinsip yang akhirnya menyebabkan rakyat menderita dan membazirkan RM42 juta ($13.6 juta) untuk mengadakan pilihan raya ini dalam keadaan pandemik."
- Ketua Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang membatalkan rancangan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).