KOTA KINABALU: Langkah untuk menjatuhkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dikatakan gagal. Difahamkan bahawa jumlah yang diperlukan untuk majoriti mudah - 40 daripada 79 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) - masih sukar dibentuk. Spekulasi berleluasa sejak dua hari lalu bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah menarik balik sokongannya daripada kerajaan negeri GRS dengan hasrat untuk membentuk kerajaan campuran dengan Parti Warisan, lapor akhbar The Star. Pada Rabu (5 Jan) Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Datuk Hajiji menerima perakuan dan sokongan daripada majoriti besar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah. Datuk Masidi mendakwa sokongan terhadap Datuk Hajiji untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sabah turut diberikan tujuh Adun Pakatan Harapan (PH) dan bersedia membuktikan keabsahan sokongan tersebut kepada pihak yang berwajib apabila dan sekiranya perlu. Kenyataan itu rentetan dakwaan pihak tertentu yang mendakwa mereka memperoleh sokongan lebih separuh Adun Sabah untuk membolehkan mereka menubuhkan kerajaan negeri yang baru.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg