WASHINGTON: Amerika Syarikat melanjutkan darurat Covid-19 yang diisytiharkan pada Mac 2020 selepas 1 Mac ini berikutan risiko berterusan terhadap kesihatan awam yang ditimbulkan oleh pandemik itu.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden berkata kematian lebih 900,000 rakyat Amerika akibat Covid-19 menekankan keperluan untuk bertindak balas terhadap wabak itu dengan "kapasiti penuh" kerajaan persekutuan.

Bekas Presiden, Encik Donald Trump, mengisytiharkan darurat hampir dua tahun lalu dan memperuntukkan AS$50 bilion ($67.29 bilion) bantuan persekutuan.

"Masih ada keperluan untuk meneruskan darurat ini," kata Encik Biden menerusi surat pada Jumaat kepada Speaker Dewan Perwakilan Rakyat dan Presiden Dewan Negara.

Darurat akan ditamatkan secara automatik melainkan dalam tempoh 90 hari sebelum tarikh ulang tahun pengisytiharan presiden menghantar notis kepada Kongres menyatakan ia akan diteruskan.

Langkah Encik Biden untuk melanjutkan darurat berlaku walaupun sebilangan besar pemimpin setempat di Amerika melonggarkan sekatan ketika gelombang Omicron surut.

Gabenor New York dan Massachusetts mengumumkan minggu lalu bahawa mereka akan menamatkan mandat pelitup muka di negeri mereka, berikutan langkah serupa oleh New Jersey, California, Connecticut, Delaware dan Oregon.

Pegawai kesihatan Amerika berkata awal minggu ini mereka sedang bersiap sedia untuk fasa pandemik seterusnya apabila kes berkaitan Omicron berkurangan. - Reuters.