Lantai jambatan kaca pecah, seorang pelancong maut
JAKARTA: Seorang pelancong cedera dan seorang lagi meninggal dunia setelah salah satu lantai jambatan kaca The Geong pecah semasa para mangsa melintasi jambatan terbabit pada Rabu.
Jambatan tersebut terletak di Limpakuwus, Kabupaten Banyumas, Jawa Tengah, Indonesia.
Menurut laporan media tempatan, ketinggian maksimum jambatan tersebut adalah sekitar 15 meter – atau sepanjang lebih kurang tiga kereta sedan biasa.
Para mangsa merupakan pelancong setempat dari wilayah Cilacap yang berwisata ke kawasan itu.
Ketua Polis Bandar Banyumas, Encik Edy Suranta Sitepu, berkata tragedi itu berlaku kira-kira 10 pagi waktu Indonesia Barat.
“Daripada maklumat yang telah dikumpulkan, sebanyak 11 orang pelancong dari Cilacap berada di atas jambatan berkenaan ketika kejadian,” katanya.
Beliau menambah bahagian kepingan kaca yang menjadi lantai jambatan berkenaan pecah secara tiba-tiba semasa pelancong-pelancong berkenaan berdiri di atasnya.
Dua orang daripadanya sempat berpaut pada rangka jambatan manakala dua yang lain – wanita yang masing-masing berusia 41 dan 49 tahun – terjatuh ke bawah, jelas Encik Edy.
Kedua-dua mangsa yang terjatuh itu, kata beliau, telah dikejarkan ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan.
Mangsa yang berusia 41 tahun hanya mengalami kecederaan ringan namun mangsa berusia 49 tahun disahkan telah meninggal dunia katanya lagi.
Daripada laporan media tempatan, jambatan kaca tersebut merupakan destinasi ikonik bagi pelancong dan masyarakat setempat di Kabupaten Banyumas.

