Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Lapangan terbang Guatemala tutup ekoran letusan gunung berapi

Dec 13, 2022 | 05:30 AM



GUATEMALA CITY: Salah satu gunung berapi paling aktif di Amerika Tengah meletus pada hujung minggu, memuntahkan lava dan abu serta memaksa pihak berkuasa Guatemala menutup lapangan terbang terbesar di negara itu buat seketika sebelum aktiviti lava berkurangan kelmarin.



Gunung berapi bernama Fuego - bahasa Sepanyol untuk api - bergemuruh dengan aktiviti semalaman Sabtu hingga Ahad, dengan batu cair meleleh menuruni cerun dan melontarkan abu dua kilometer ke langit. Angin membawa abu ke arah Guatemala City, sejauh 35km.



Lapangan terbang antarabangsa La Aurora, enam kilometer di selatan ibu negara, ditutup buat sementara waktu pada tengah pagi, kata Direktorat Am Aeronautik Awam dalam satu kenyataan, memetik kehadiran abu berhampiran landasan.



Sekurang-kurangnya dua penerbangan masuk terpaksa dilencongkan, kata sumber penerbangan, sebelum ia dibuka semula sekitar tengah hari waktu tempatan selepas angin bertukar arah dan menghantar abu dari kemudahan itu.



Selain itu, jalan raya yang menghubungkan selatan dan tengah Guatemala ditutup sebagai langkah berjaga-jaga, kata Encik Carlos Aquino, jurucakap polis lebuh raya. Ia dibuka semula petang kelmarin apabila aktiviti gunung berapi itu berkurangan.



Gunung berapi itu terletak kira-kira 16km dari Antigua, bekas ibu negara yang indah dan tarikan pelancong terbesar.



Secara purata, Fuego meletus setiap empat hingga lima tahun. Pada 2018, letusan menyebabkan sungai lava mengalir ke tepinya, memusnahkan perkampungan San Miguel Los Lotes, membunuh 215 orang dan menyebabkan jumlah yang sama hilang.



Pihak berkuasa berkata mereka sedang memantau letusan terbaru dengan teliti, tetapi tiada sesiapa telah dipindahkan.



"Dengan apa yang berlaku pada 2018, kini pihak berkuasa sudah lebih berwaspada dan lebih aktif," kata Encik Jose Sul, seorang penduduk Alotenango, yang terletak di timur Fuego.



Penduduk tempatan melihat limpahan lahar secara tiba-tiba pada malam Sabtu yang memerah langit.



"Orang-orang di sini sudah biasa mengalami perkara ini, dan mereka melihatnya sebagai perkara biasa," kata Encik Demetrio Pamal, seorang petani orang asli Maya berusia 28 tahun, kepada AFP.



Ramai keluarga tempatan mempunyai beg galas yang tersedia dengan makanan, air, lampu suluh dan ubat-ubatan supaya mereka boleh berpindah sehingga tiga hari dengan serta merta.



Pada petang kelmarin, institut gunung berapi Guatemala berkata bahawa "aktiviti telah berkurangan; tiada lagi aliran piroklastik atau pelepasan lahar atau tiang letusan yang sarat dengan abu".



"Selepas beberapa jam agak tenang, aktiviti letusan ini boleh dianggap berakhir," kata Encik Roberto Merida, seorang juruteknik di institut gunung berapi itu.



Guatemala mempunyai dua lagi gunung berapi aktif - Santiaguito di barat negara dan Pacaya di selatan. Fuego juga bersebelahan dengan gunung berapi Acatenango yang tidak aktif - pada ketinggian 3,500m.



Tidak seperti gunung berapi Andes di Amerika Selatan, Guatemala tidak diliputi salji kerana iklim Amerika Tengah yang lebih panas.



Amerika Tengah mempunyai lebih daripada 100 gunung berapi, kebanyakannya merupakan tarikan pelancong yang sangat popular, walaupun kadang-kadang menyebabkan kematian dan kemusnahan. - AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >