Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan: Diskriminasi agama di Perancis semakin meningkat

Dec 5, 2025 | 10:41 AM
Seorang penunjuk perasaan memegang plakad antara lain tertulis “hentikan Islamofobia” ketika menyertai perhimpunan membantah Islamofobia di Paris pada 11 Mei 2025.
Seorang penunjuk perasaan memegang plakad antara lain tertulis “hentikan Islamofobia” ketika menyertai perhimpunan membantah Islamofobia di Paris pada 11 Mei 2025. - Foto AFP

PARIS: Diskriminasi berasaskan agama di Perancis didapati semakin meningkat, menurut laporan terbaharu oleh Hak Asasi Ombudsman negara itu pada 4 Disember. Kajian tersebut mendapati satu daripada tiga responden Muslim mengakui pernah menjadi mangsa diskriminasi.

Perancis mempunyai komuniti Muslim yang besar, kebanyakannya hasil imigresen dari bekas tanah jajahan termasuk Afrika Utara. Namun undang-undang Perancis melarang pengumpulan data rasmi berkaitan kaum, etnik atau agama, menyebabkan statistik menyeluruh tentang diskriminasi sukar diperoleh.

Menurut pejabat Ketua Hak Asasi, Cik Claire Hedon, penemuan ini berpandukan tinjauan 2024 melibatkan 5,000 orang yang mewakili populasi Perancis.

Laporan itu menyatakan sebanyak 7 peratus responden mengalami diskriminasi agama dalam tempoh lima tahun lalu, meningkat berbanding 5 peratus pada 2016. Angka ini jauh lebih tinggi dalam kalangan masyarakat Muslim.

Sebanyak 34 peratus Muslim atau individu yang dianggap sebagai Muslim melaporkan mereka pernah didiskriminasi, berbanding 19 peratus bagi penganut agama lain seperti Yahudi dan Buddha, dan hanya 4 peratus dalam kalangan penganut Kristian.

Dalam kalangan wanita Muslim, kadar diskriminasi meningkat kepada 38 peratus, berbanding 31 peratus bagi lelaki Muslim.

Laporan itu memberi amaran bahawa diskriminasi boleh membawa kepada pengasingan sosial, terutama bagi wanita Muslim yang memakai tudung. “Mereka berdepan stigma di ruang awam dan berdepan sekatan dalam kerjaya,” menurut laporan tersebut.

Antara kesan dilaporkan termasuk dipaksa meninggalkan pekerjaan, menerima jawatan yang tidak setimpal kelayakan, atau bergantung kepada perniagaan komuniti apabila sukar mendapatkan pekerjaan. Ada juga wanita yang dilarang menyertai sukan tertentu kerana tudung.

Sekularisme di Perancis berpaksikan undang-undang 1905 yang menjamin kebebasan beragama, pemisahan antara institusi agama dan negara, serta memastikan pemerintahan berkecuali.

Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, prinsip sekularisme sering dijadikan alasan untuk melaksanakan larangan ke atas simbol agama termasuk larangan pemakaian tudung di sekolah pemerintah.

Sebahagian umat Islam di Perancis menyatakan negara itu semakin terasa tidak mesra, terutama selepas media berhaluan kanan dan pelampau sayap kanan kerap menggambarkan apa yang mereka dakwa sebagai “ancaman Islamis”, pasca serangan pelampau di Paris pada 2015.

Laporan Ombudsman itu juga menyorot satu lagi kajian yang menunjukkan kira-kira satu perempat rakyat Perancis tersilap mentafsir sekularisme sebagai “larangan simbol agama di ruang awam”. Laporan itu menyifatkan tafsiran tersebut sebagai salah.

Perkara ini, menurut laporan tersebut, mewujudkan “jurang antara persepsi sosial dan realiti perundangan”, dipengaruhi oleh masyarakat yang semakin sekular serta naratif politik dan media yang kerap diulang.

Laporan itu menggesa pendidikan yang lebih baik mengenai konsep sekularisme Perancis. Ia menegaskan bahawa tindakan politik yang kononnya bertujuan memerangi pengasingan agama seperti melarang pemakaian tudung dalam situasi tertentu sebenarnya “menyumbang kepada pembentukan pengasingan tersebut”.

Kumpulan hak asasi pula berhujah bahawa larangan ke atas tudung hakikatnya tetap bermaksud mengawal pakaian wanita bukannya memberi mereka kebebasan untuk menentukan pilihan sendiri. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg