Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan PBB: Tentera Myanmar telah wujudkan krisis berterusan

Mar 4, 2023 | 3:31 PM
KRISIS DI MYANMAR: Seorang pembantah semasa tentera Myanmar menggunakan tindakan keras pada 19 Mac 2021.
KRISIS DI MYANMAR: Seorang pembantah semasa tentera Myanmar menggunakan tindakan keras pada 19 Mac 2021. - Foto AGENSI BERITA

GENEVA: Sebuah laporan yang diterbitkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat (3 Mac) telah mendakwa tentera Myanmar mewujudkan krisis hak asasi manusia yang berterusan di negara Asia Tenggara itu dan menggesa agar keganasan di sana segera dihentikan.

Sejak kepimpinan junta merampas kuasa dua tahun lalu, Myanmar menjadi huru-hara, dengan gerakan prodemokrasi menentang rejim tentera itu selepas junta mengambil tindakan keras terhadap bantahan oleh aktivis prodemokrasi.

Laporan itu - yang merakamkan perbuatan melanggar hak asasi manusia yang didakwa berlaku antara 1 Februari 2022 dengan 31 Januari 2023 - mendapati bahawa terdapat lebih banyak keganasan di bahagian barat laut dan tenggara Myanmar disebabkan perbuatan tentera yang melakukan serangan udara dan meriam secara sembarangan, membakar kampung hingga penduduk awam kehilangan tempat tinggal mereka dan menafikan akses kepada bantuan kemanusiaan.

Menurut laporan tersebut, taktik yang digunakan tentera itu bertujuan menyekat akses kumpulan bersenjata lain kepada makanan, kewangan, risikan dan rekrut. Menerusi satu kenyataan, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Encik Volker Turk, berkata:

"Tentera itu, yang menjadi lebih berani dengan perbuatan mereka terus bebas daripada segala hukuman, secara konsisten menunjukkan sikap tidak mengendahkan kewajipan dan prinsip antarabangsa.

"Tindakan kukuh segera diperlukan untuk menghentikan malapetaka ini."

Junta Myanmar sebelum ini berkata mereka mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keamanan dan keselamatan serta menafikan bahawa sebarang perbuatan kejam telah berlaku.

Tambahnya, apa yang dijalankannya merupakan kempen yang sah terhadap pengganas.

Ketua pasukan Myanmar di Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Encik James Rodehaver, berkata pertempuran bersenjata berlaku di sekitar 77 peratus negara itu.

"Tiada masa dan situasi sebelum ini di mana krisis di Myanmar telah mencapai tahap sejauh ini dan seluas ini di seluruh negara itu," kata beliau.

Laporan PBB itu turut menyarankan agar pihak berkuasa di Myanmar menghentikan segala keganasan dan berhenti menindas pembangkang mereka.

"Operasi tentera harus berhenti untuk memberi ruang kepada dialog yang boleh mengakhiri krisis ini," menurut laporan itu. - Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg