Setiap kali laungan merdeka kedengaran pada 31 Ogos, penduduk Sabah dan Sarawak berasa agak terpinggir. Sukar bagi mereka menghayati semangat kemerdekaan yang dirasakan rakan senegara di Semenanjung.
Walaupun Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia namun kemerdekaan 31 Ogos bukan milik mereka.
Pada 31 Ogos 1957, negara Malaysia belum wujud. Yang meraih kemerdekaan daripada penjajah British waktu itu ialah Persekutuan Tanah Melayu.
Singapura diberi taraf pemerintahan sendiri pada Mei 1959.
Empat tahun kemudian, pada 1963 Sabah dan Sarawak menerima status serupa daripada kerajaan British.
Pada 16 September 1963, Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju bersama Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia.
Ini fakta sejarah yang kurang disedari ramai Saya sendiri mula menyedari betapa pentingnya memahami langkah menuju kemerdekaan sewaktu membuat kajian untuk menerbitkan dokumentari televisyen beberapa tahun lalu.
Kunjungan saya ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak sejak lima tahun lalu meningkatkan kesedaran tentang jurang perbezaan dengan negeri semenanjung.
Yang paling ketara ialah saya perlu menggunakan passport antarabangsa Singapura untuk masuk ke Sabah atau Sarawak walaupun terbang dengan pesawat domestik dari Kuala Lumpur.
Malah penduduk semenanjung rakyat Malaysia juga perlu menunjukkan kad pengenalan di kaunter imigresen sebelum dibenarkan masuk.
Kedua-dua buah negeri di Borneo ini mempunyai budaya dan adat resam yang unik.
Umpamanya, Sabah dengan 3.5 juta penduduk mempunyai 30 kaum etnik berbeza dengan lebih 80 bahasa. Sarawak - 2.7 juta penduduk, 27 kaum etnik dan 45 bahasa.
Satu fakta yang mengejutkan ialah Sabah dan Sarawak sebenarnya lebih luas daripada seluruh semenanjung Malaysia.
Ia juga kaya dengan sumber minyak, gas dan keindahan alam semula jadi.
Oleh kerana itu dari segi geo-politik, Sabah dan Sarawak amat penting bagi Malaysia. Namun begitu, realiti ini seolah-lah kurang diberi perhatian oleh kerajaan persekutuan.
Keadaan ini menimbulkan keresahan penduduk Sabah-Sarawak kerana setelah sekian lama perbincangan terperinci mengenai Perjanjian Malaysia 1963 atau yang dikenali sebagai Malaysia Agreement 1963 (MA63) masih belum selesai.
Perjanjian itu antara lain memberi hak istimewa dan autonomi kepada Sarawak dan Sabah menguruskan negeri dan merancang pembangunan ekonomi masing-masing.
Umpamanya, kuasa eksekutif di Sabah dan Sarawak dikenali sebagai Kabinet, dan anggota Kabinet bergelar Menteri. Sedangkan di negeri- negeri Semenanjung dikenali sebagai ahli Exco.
Hanya pada Disember tahun lalu, akhirnya beberapa pindaaan rang-rang undang Perlembagaan Persekutuan diluluskan sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963.
Antara yang penting ialah pengikhtirafan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah yang membentuk Malaysia bersama negeri-negeri semenanjung.
"Wilayah bukan sekadar satu istilah untuk membezakan Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain di Semenanjung. Kita bercakap tentang perkongsian sama taraf antara tiga entiti iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung," kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan ketika mengulas perubahan taraf itu.
Pada Mac lalu, Sarawak mengambil langkah kontroversial dengan menukar secara rasmi gelaran jawatan Ketua Menteri kepada Premier Sarawak.
Ada yang bimbang terjemahan perkataan 'Premier' dalam bahasa Melayu sebagai Perdana Menteri akan menimbulkan kekeliruan. Oleh sebab itu timbul saranan menggunakan istilah Menteri Perdana atau Menteri Utama sebagai ganti.
Bagaimanapun, penganalisis politik berpendapat perubahan itu lebih bersifat simbolik sesuai dengan tarafnya sebagai wilayah, bukan untuk menambah bidang kuasa.
Implikasi sebenar taraf wilayah bagi Sabah dan Sarawak belum lagi kelihatan tetapi suara mereka sudah lebih lantang kedengaran di Parlimen sejak setahun lalu.
Langkah mengeratkan lagi hubungan antara penduduk Sabah-Sarawak dan Semenanjung telah dilakukan sejak 2010 apabila 16 September diiktiraf sebagai Hari Malaysia supaya ia dapat diraikan bersama.
Malah sejak 2015, Hari Merdeka 31 Ogos juga secara rasmi dinamakan sebagai Hari Kebangsaan supaya semua rakyat Malaysia dapat menghayatinya walaupun laungan merdeka masih tetap kedengaran di Semenanjung.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg