JAKARTA: Kunjungan Paus Francis ke Indonesia yang akan datang, adalah momentum untuk menyuarakan mesej perpaduan dalam kalangan masyarakat antara agama untuk kemanusiaan yang lebih baik, menurut Persidangan Uskup Indonesia (KWI).
“Saya yakin mesej ini akan disampaikan bukan saja untuk Gereja Katolik dalaman, tetapi juga untuk semua orang yang akan terlibat,” wakil daripada persidangan itu dan jurucakap jawatankuasa pelawat Paus Francis, Fr. Thomas Ulun Ismoyo, berkata di sini pada 26 Ogos.
Jelasnya lagi, dalam setiap lawatan pastoral ke negara-negara, Paus sentiasa menyampaikan mesej bermakna keamanan dan perpaduan yang bukan saja khusus untuk penganut Katolik tetapi untuk seluruh masyarakat.
Lebih-lebih lagi, tambahnya, Indonesia merupakan masyarakat yang mempunyai latar belakang agama yang sangat pelbagai.
Justeru, katanya, lawatan Paus Francis boleh menjadi momentum untuk mempromosikan keamanan dan kebaikan untuk manusia, lapor agensi berita Antara.
“Di Indonesia, pemimpin agama memainkan peranan penting kerana pemimpin agama mempunyai pengikut dan pengaruh,” jelas Encik Ismoyo.
“Jadi apabila pemimpin agama ini mempunyai pengikut dan pengaruh, bersatu, bersekutu, mempunyai impian yang sama, keprihatinan yang sama--marilah kita berganding bahu menuju ke arah kemanusiaan yang lebih baik, persaudaraan yang lebih tulen, dan kebaikan bersama untuk masyarakat,” ujarnya.
Paus Francis akan melakukan kunjungan ke Indonesia, Papua New Guinea, Timor Leste, dan Singapura, dari 2 hingga 13 September 2024.
Indonesia adalah negara pertama yang akan dilawatinya. Beliau akan berada di negara kepulauan itu dari 3 hingga 6 September.
Pada 4 September, pemimpin masyarakat Katolik itu dijadualkan bertemu Presiden Joko Widodo di Istana Merdeka di Jakarta.
Pada 5 September, Paus Francis dijadual menghadiri mesyuarat antara agama di Masjid Istiqlal, Jakarta, diikuti dengan pertemuan dengan penerima pertubuhan amal di Pejabat KWI.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg