Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 100 orang cedera, kereta api terhenti, susuli gempa di Jepun

Feb 14, 2021 | 12:32 PM
KESAN GEMPA: Seorang pekerja perpustakaan di Jepun sedang membersihkan buku-buku yang bersepahan menyusuli gempa bumi teruk pada tengah malam Sabtu. - Foto REUTERS/ISSEI KATO
KESAN GEMPA: Seorang pekerja perpustakaan di Jepun sedang membersihkan buku-buku yang bersepahan menyusuli gempa bumi teruk pada tengah malam Sabtu. - Foto REUTERS/ISSEI KATO -

IWAKI, JEPUN: Lebih 100 orang cedera manakala operasi kereta api pula terhenti di kebanyakan bahagian timur laut Jepun pada Ahad (14 Februari) setelah kawasan itu dikejutkan dengan gempa bumi besar di daerah yang sama dengan gempa bumi Fukushima yang mencetus bencana tsunami sekitar 10 tahun lalu.

Agensi berita Reuters melaporkan gempa dengan magnitud 7.3 itu berlaku tidak lama sebelum tengah malam Sabtu sehingga tembok bangunan retak manakala jendela pula pecah disusuli dengan tanah runtuh di Fukushima, kawasan terdekat dengan pusat gempa.

Gempa tersebut dikatakan turut menggegar bangunan di ibu kota Jepun, Tokyo, yang letaknya sekitar ratusan kilometer jauh daripada tempat kejadian.

Walaupun sebilangan besar bangunan kehilangan bekalan elektrik sejurus selepas gempa bumi itu yang melanda sekitar 11.08 malam waktu tempatan (10.08 Sabtu malam, waktu Singapura), kuasa elektrik kembali seperti sediakala keesokan paginya.

Sungguhpun begitu, ribuan isi rumah masih mengalami masalah tiada bekalan air. Penduduk beratur dengan bekas plastik bagi mendapatkan air di trak.

Sekurang-kurangnya, 104 penduduk cedera, lapor stesen televisyen nasional NHK. Beberapa orang pula mengalami keretakan tulang tetapi tiada kematian dilaporkan.

Tiada tsunami melanda mahupun gangguan pada loji nuklear tetapi gempa bumi itu mengembalikan kenangan gempa bumi besar yang menggegar Jepun pada 11 Mac 2011. Pada waktu itu, tsunami besar membawa pada krisis nuklear paling teruk di dunia dalam tempoh 25 tahun.

Khidmat kereta api peluru Shinkansen yang beroperasi di bahagian utara Jepun juga digantung kerana kerosakan pada laluannya dek gempa bumi ini. Khidmat pada satu laluan pula tidak dijangka akan kembali seperti sediakala hingga Selasa. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg