Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 100 perahu dijangka sertai acara Pacu Jalur di Riau

Oct 8, 2025 | 11:36 AM
Jalur Tuah Keramat Bukit Embun
Kumpulan peserta, Jalur Tuah Keramat Bukit Embun, sibuk mempersiapkan perahu jalur mereka menjelang perlumbaan tradisional yang akan berlangsung pada 11 dan 12 Oktober di Tepian Narosa, Sungai Kuantan, Riau, Indonesia. - Foto BH oleh ISMIRA LUTFIA

Perlumbaan perahu kayu tradisional Pacu Jalur yang bakal berlangsung pada 11 dan 12 Oktober bagi meraikan ulang tahun Kabupaten Kuantan Singingi, Riau, dijangka melibatkan sekurang-kurangnya 100 jalur yang bakal bersaing di Tepian Narosa, Sungai Kuantan, Riau, Indonesia.

Namun, sebuah perahu juara tidak akan turun ke sungai kali ini.

Bintang Emas Cahaya Intan, perahu sepanjang 34.7 meter yang menjuarai Festival Pacu Jalur pada Ogos lalu sempena Hari Kemerdekaan Indonesia, tidak akan menyertai perlumbaan kali ini.

Setiausaha Desa Tanjung pemilik jalur tersebut, Encik Jefri, berkata terdapat tradisi yang menetapkan bahawa jalur juara mesti disimpan di kampung sehingga musim perlumbaan berikutnya.

“Sebahagian pendayung kami mungkin menyertai jalur lain, tetapi perahu kami tidak akan berlumba.

“Menurut tradisi jalur, sebagai juara ia tidak wajar turun dalam perlumbaan yang lebih kecil,” kata Encik Jefri kepada Berita Harian (BH).

Perahu sepanjang 35 meter dari Desa Gumanti, pernah muncul juara pada 2023 dan meraih hadiah wang tunai 150 juta rupiah ($11,700), seekor lembu dan seekor kerbau untuk pasukan dan penduduk desa.

Pacu Jalur berasal daripada dialek Minangkabau timur; pacu bermaksud berlumba dan jalur merujuk kepada perahu panjang yang dipahat dari sebatang pokok besar dan mampu membawa sehingga 70 orang.

Jalur adalah lambang semangat masyarakat kerana dimiliki seluruh desa, bukan individu.

Sejak awal 1900-an, jalur digunakan sebagai pengangkutan di Sungai Kuantan, Riau membawa hasil tanaman dan penumpang.

Lama-kelamaan, perjalanan itu bertukar menjadi perlumbaan antara kampung dan kemenangan menjadi kebanggaan bersama.

Pada zaman kolonial Belanda, perlumbaan diadakan bagi meraikan hari lahir Ratu Wilhelmina, dan selepas kemerdekaan, untuk menyambut Hari Kemerdekaan Indonesia.

Untuk menyertai perlumbaan utama, perahu perlu layak melalui perlumbaan peringkat daerah.

Setiap perlumbaan melibatkan dua jalur yang berlumba sejauh kira-kira 1.8 kilometer.

Jalur biasanya berukuran antara 25 dengan 45 meter, dihias ukiran di buritan dan dicat cerah dengan nama serta asal desa.

“Dulu ada jalur yang boleh bawa 80 orang, tetapi kini sukar kerana pembalakan menyukarkan mencari batang pokok sepanjang itu,” kata Setiausaha Kebudayaan Riau, Encik Ninno Wastika Sari.

Namun, jumlah pendayung bukan penentu mutlak.

“Kekuatan jalur bergantung pada kerjasama dan keseragaman gerakan. Itu mencerminkan kearifan tempatan tentang gotong-royong,” jelas Encik Ninno.

Setiap pasukan terdiri daripada 40 hingga 60 pendayung lelaki, seorang komander (Timbo Ruang) di tengah, pemanggil isyarat (Tukang Concang) di buritan yang mengawal tempo, dan seorang anak penari (Togak Luan) di haluan memberi semangat.

Ketika tiba di garisan penamat, anak penari sering sujud tanda syukur.

Mereka mengenakan busana tradisional Melayu manakala pendayung memakai jersi berwarna terang.

Tradisi yang kaya menjadikan Pacu Jalur bukan sekadar perlumbaan, bahkan pesta budaya yang menyatukan masyarakat desa sepanjang Sungai Kuantan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg