Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 100 rumah atas air musnah dek ombak besar di Sabah

Dec 28, 2022 | 5:30 AM
ROBOH DIBADAI ARUS: Lokasi dua rumah yang roboh dalam kejadian fenomena air pasang besar yang berlaku pada 22 Disember lalu di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu, Sabah. - Foto BHM
ROBOH DIBADAI ARUS: Lokasi dua rumah yang roboh dalam kejadian fenomena air pasang besar yang berlaku pada 22 Disember lalu di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu, Sabah. - Foto BHM -

KOTA KINABALU: Seramai 370 mangsa membabitkan 63 keluarga di Sandakan dilaporkan tinggal sehelai sepinggang apabila lebih 100 kediaman penempatan atas air di Kampung Forest roboh dilanda ombak dan air pasang besar Ahad lalu.

Sebelum itu, seramai 210 orang daripada 39 keluarga dilaporkan menjadi mangsa fenomena sama di Kampung Tanjung Aru Baru di sini.

Dalam pada itu, keadaan semasa bencana air pasang besar dan banjir di Sabah menunjukkan sedikit penurunan dengan 1,589 mangsa dilaporkan semalam berbanding 1,647 mangsa dicatatkan petang kelmarin.

Ini berdasarkan kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah pagi semalam. Jumlah itu membabitkan 355 Ketua Isi Rumah (KIR) di tiga daerah, iaitu Pitas, Kota Belud dan Sandakan.

Penurunan jumlah mangsa berikutan penutupan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muhibbah Sembulan yang sebelum ini menempatkan 54 mangsa bencana air pasang besar dari Pulau Gaya, di sini.

"Penutupan PPS itu diisytiharkan pada jam 4.30 petang semalam dan semua mangsa sudah dihantar ke jeti Pulau Gaya untuk kembali ke kediaman masing-masing," kata pihak urus setia itu dalam kenyataan semalam.

"Sebanyak enam PPS beroperasi di Pitas, iaitu Balai Raya Agropolitan Kampung Pinggan-Pinggan (297 orang), Dewan Kampung Mempakad (163 orang), Dewan Terbuka Kampung Rosob (156 orang), Gereja SIB Kampung Luntuk (79 orang), Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinggan-Pinggan (57 orang) dan Dewan Terbuka Kampung Salimpodon (16 orang).

"Di Kota Belud, dua PPS masih beroperasi iaitu Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa (73 orang) dan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan (62 orang), manakala di Sandakan, sebuah PPS masih aktif iaitu di SK Sungai Anib 2 (686 mangsa)," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg