Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 100 tapak bersejarah akan dibangunkan di Makkah, Madinah

Sep 20, 2023 | 1:55 PM
BILANGAN JEMAAH MENINGKAT: Kerajaan Arab Saudi sedang menyediakan lebih 100 tapak bersejarah untuk dilawati sebagai sebahagian daripada usaha menarik pengunjung ke Arab Saudi.
BILANGAN JEMAAH MENINGKAT: Kerajaan Arab Saudi sedang menyediakan lebih 100 tapak bersejarah untuk dilawati sebagai sebahagian daripada usaha menarik pengunjung ke Arab Saudi. - Foto EPA-EFE

MAKKAH: Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah, mendedahkan rancangan membangunkan lebih 100 tapak bersejarah di Makkah dan Madinah.

“Kementerian, dengan penyelarasan dan kerjasama rakan kongsi daripada beberapa agensi, akan berusaha membangunkan tapak bersejarah ini, dengan mutu dan standard yang tinggi.

“Program Doyof Al-Rahman (Tetamu Yang Maha Pengasih) untuk memperkaya pengalaman jemaah haji dan umrah, menjadikannya pengalaman yang luas dan tidak dapat dilupakan di Makkah dan Madinah,” katanya, seperti yang dilaporkan oleh Saudi Gazette.

Program Doyof Al Rahman ialah salah satu program eksekutif Wawasan 2030 Arab Saudi, dan merangkumi penyepaduan dan kerjasamanya dengan 70 entiti dalam sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan mencari untung.

“Doyof Al Rahman merupakan satu daripada tonggak wawasan untuk memperkukuh lagi perkhidmatan haji dan umrah.

“Semua sasaran itu bertujuan merealisasikan satu matlamat yang sentiasa menjadi kepentingan utama kepimpinan kami, iaitu memastikan jemaah haji dan umrah menyempurnakan lawatan dan ibadah mereka dengan mudah, selesa dan tenang,” ujar Dr Tawfiq ketika berucap pada program bertajuk Partners di Kejiranan Budaya Hira di Makkah pada Isnin.

Menteri itu mengumumkan pelancaran wadah elektronik untuk tempahan tiket melawat tapak bersejarah dan budaya di Makkah, termasuk Gua Hira dan tapak lain yang akan dibangunkan.

“Tuhan telah memberkati negara kita dengan penghormatan besar, iaitu berkhidmat kepada dua Masjidil Haram dan jemaah haji dan umrah.

“Makkah dan Madinah mempunyai sejarah hebat dan umat Islam tidak sabar untuk mengetahuinya,” ujar beliau.

Dr Tawfiq menyaksikan majlis menandatangani perjanjian perkongsian dengan beberapa syarikat umrah.

Terdahulu media Arab Saudi melaporkan projek pembinaan semula dan pengubahsuaian sedang dijalankan di enam tempat bersejarah Islam dan muzium di sekitar Makkah.

Tapak bersejarah itu termasuk di wilayah Hudaybiyyah di mana Perjanjian Hidaybiyyah antara Nabi Muhammad saw serta umat Islam dengan suku Quraish dimeterai pada 6 Hijrah

Laporan itu turut menyebut jawatankuasa eksekutif bagi tapak dan muzium sejarah Islam turut melawat Bir Tuwa, Jabal Thur, Terusan Ain Zubaydah yang berusia 1,200 tahun, Mina dan Gua Hira di Jabal Nur.

Salah satu daripada projek penting ialah pembinaan Pusat Budaya Jabal Al-Nur. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg