ISKANDAR PUTERI (Johor): Lebih 12 juta orang telah melalui sempadan darat antara Malaysia dengan Singapura menggunakan kedua-dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Iskandar (CIQ BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (CIQ KSAB), kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Kompleks CIQ BSI terletak di Tambak Malaysia manakala CIQ KSAB di Linkedua.
Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen, kira-kira 6.3 juta rakyat Malaysia dan 2.3 juta warga asing telah melalui CIQ BSI sejak pembukaan semula sempadan antara April dengan seminggu lalu.
"Dalam tempoh sama, kira-kira 2.7 juta rakyat tempatan dan 704,000 warga asing pula telah mengembara menggunakan KSAB," katanya.
Datuk Onn Hafiz berkata demikian dalam jawapannya kepada anggota dewan undangan negeri (Adun) dalam satu sidang di Bangunan Sultan Ismail di Kota Iskandar Isnin lalu.
Adun itu ingin mengetahui keadaan di kedua-dua pusat pemeriksaan tersebut selepas sempadan Malaysia dan Singapura dibuka semula pada 1 April lalu.
Beliau berkata terdapat sebanyak 38 kaunter kereta, 50 kaunter motosikal, 12 kaunter kenderaan berat dan 42 kaunter automatik dan manual untuk bas disediakan di CIQ BSI.
Di CIQ KSAB, terdapat 24 kaunter kereta, 25 kaunter motosikal, 26 kaunter bas dan tiga kaunter kenderaan berat.
"Lebih banyak tenaga kerja telah ditambah untuk membantu meningkatkan keberkesanan perkhidmatan di kedua-dua CIQ ini," katanya. - Agensi berita.