Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 120 negara termasuk Singapura sokong resolusi PBB bidas langkah AS

Dec 23, 2017 | 5:30 AM
DUNIA BERSUARA: Keputusan undian dipamerkan di dewan Perhimpunan Agung PBB di New York kelmarin yang menyifatkan keputusan Amerika Syarikat mengisytiharkan Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel sebagai "batal dan tidak sah". - Foto AFP
DUNIA BERSUARA: Keputusan undian dipamerkan di dewan Perhimpunan Agung PBB di New York kelmarin yang menyifatkan keputusan Amerika Syarikat mengisytiharkan Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel sebagai "batal dan tidak sah". - Foto AFP -

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB): Lebih 120 negara, termasuk Singapura, menolak langkah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan mengundi memihak kepada resolusi Perhimpunan Agung PBB yang menyeru agar Washington memansuhkan pengiktirafannya terhadap Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Presiden Trump sebelum ini mengancam akan memotong bantuan kewangan kepada negara-negara yang mengundi menentangnya.

Tetapi, sejumlah 128 negara kelmarin (semalam waktu Singapura) menyokong resolusi itu, sembilan mengundi menentang dan 35 berkecuali. Lagi 21 negara tidak mengundi.

Ancaman Encik Trump itu kelihatan meninggalkan sedikit kesan, dengan lebih banyak negara tidak membuang undi dan menolak resolusi berkaitan dengan Palestin daripada kebiasaannya.

Namun, Washington mendapati dirinya terpencil, kerana banyak sekutu Barat dan Arab mengundi menyokong resolusi PBB tersebut.

Sebahagian daripada sekutunya, seperti Mesir, Jordan dan Iraq, juga merupakan penerima utama bantuan ketenteraan atau ekonomi Amerika.

Seorang jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas menyifatkan keputusan itu sebagai "kemenangan untuk Palestin".

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pula menolak undian tersebut.

Awal bulan ini, Presiden Trump membalikkan dasar Amerika dengan mengumumkan bahawa Washington mengiktiraf Baitulmakdis - tempat ibadat utama bagi umat Islam, Yahudi dan Kristian - sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaannya di Tel Aviv ke sana.

Status Baitulmukadis adalah salah satu halangan yang paling sukar bagi mencapai kesepakatan damai antara Israel dengan Palestin, yang sangat marah atas pengiktirafan Trump itu.

Masyarakat antarabangsa juga tidak mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas bandar raya itu sepenuhnya.

Duta Besar Perancis di PBB Francois Delattre berkata dalam satu kenyataan: "Resolusi yang diterima pakai hari ini hanya mengesahkan peruntukan undang-undang antarabangsa yang berkaitan dengan Baitulmukadis."

Perancis mengundi memihak kepada resolusi berkenaan.

"Resolusi yang diterima pakai hari ini hanya mengesahkan peruntukan undang-undang antarabangsa yang berkaitan dengan Baitulmukadis." - Duta Besar Perancis di PBB Francois Delattre. Perancis mengundi memihak kepada resolusi berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg