Lebih 130,000 kanak-kanak di M'sia terima dos pertama vaksin Covid-19
Lebih 130,000 kanak-kanak di M'sia terima dos pertama vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR: Lebih 130,000 kanak-kanak di Malaysia berumur antara lima dengan 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin Covid19 sejak Sabtu lalu, sembilan hari selepas program vaksinasi kebangsaan untuk mereka dilancarkan.
Menurut laman web kerajaan CovidNow, jumlah itu mewakili 3.8 peratus daripada kumpulan itu.
Sehingga 7 Februari, 663,641 kanak-kanak daripada 3.6 juta dalam kumpulan umur itu telah mendaftar untuk suntikan mereka, yang akan diberikan dalam dua dos dalam selang lapan minggu.
Pemvaksinan itu tidak wajib, tetapi pihak berkuasa kesihatan menggalakkan lebih ramai ibu bapa mendaftarkan anak mereka untuk divaksinasi.
Malaysia merekodkan sekurang-kurangnya 26 kematian Covid-19 membabitkan kanak-kanak berumur antara lima dengan 11 tahun dalam tempoh enam bulan lalu.
Seramai 147,282 kanak-kanak telah dijangkiti dalam tempoh tersebut.
Angka menunjukkan kira-kira 90 peratus remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah mendapat dua dos vaksin Covid-19.
Begitu juga, 97.5 peratus daripada populasi dewasa telah menerima kedua-dua dos, dan lebih separuh daripadanya, atau 56 peratus, telah mendapat suntikan penggalak mereka juga.
Angka harian secara amnya meningkat, namun, Kementerian Pendidikan berkata peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), setaraf dengan peperiksaan GCE peringkat 'O' di Singapura, akan diteruskan mengikut jadual.
Peperiksaan bertulis SPM dijadualkan berlangsung pada Mac, tetapi peperiksaan lisan bermula minggu lalu.
Petisyen dalam talian, menggesa penangguhan peperiksaan, telah memperoleh lebih 3,000 penandatangan sejak ia dilancarkan seminggu lalu.
Angka Kementerian Kesihatan setakat 11 Februari menunjukkan daripada 385 kluster aktif Covid-19, 235 melibatkan institusi pendidikan. - ST.

